Pegawai perubatan rugi lebih RM100,000 terperdaya tawaran kerja sambilan
Bernama
Oktober 16, 2024 22:09 MYT
Oktober 16, 2024 22:09 MYT
MUAR: Seorang pegawai perubatan kerugian RM113,086.40 apabila wang simpanannya lesap selepas mendakwa terperdaya dengan tawaran kerja sambilan secara dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata lelaki berusia 27 tahun itu menyatakan telah berkenalan dengan seorang individu melalui satu aplikasi dan ditawarkan kerja sambilan.
Beliau berkata mangsa kemudian mendapatkan maklumat lanjut sebelum diminta untuk membuat tinjauan mengenai kecekapan tenaga melalui pautan diberikan dan akan menerima komisen sebanyak 20 peratus.
"Mangsa yang percaya dan tertarik dengan pulangan lumayan itu telah mendaftar sebagai ejen dalam sebuah laman sesawang namun bagi mendapatkan pautan tinjauan itu dia telah melakukan 14 transaksi ke lima akaun berbeza berjumlah RM113,086.40.
"...melalui paparan laman sesawang yang dimuat turun menunjukkan mangsa memperoleh keuntungan sebanyak RM130,000. Bagaimanapun, dia diminta untuk membuat bayaran tambahan sekiranya ingin mengeluarkan keuntungan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Raiz Mukhliz berkata mangsa sebaliknya enggan membuat bayaran dan berasa telah ditipu sebelum bertindak membuat laporan polis semalam.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berhati-hati terutama dalam urusan melibatkan transaksi kewangan," katanya.
-- BERNAMA