Pegawai pertanian Risda didakwa terima rasuah RM22,300
Abdul Hafiz Mustadi
September 20, 2022 19:11 MYT
September 20, 2022 19:11 MYT
KOTA KINABALU: Seorang pegawai pertanian di Pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Daerah Keningau didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini atas enam pertuduhan menerima suapan berjumlah RM22,300, dua tahun lalu.
Tertuduh, Zainal bin Aliasan, 33 bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat pada Selasa.
Bagi pertuduhan pertama, Zainal bertempat di pejabat Risda daerah Keningau didakwa menerima suapan daripada seorang individu melalui akaun bank rakannya, sebagai dorongan untuk mempercepatkan urusan tuntutan pembayaran individu tersebut terhadap Risda daerah Keningau pada 2 Mei 2020 dengan jumlah wang berjumlah RM4,950.
Dalam pertuduhan kedua hingga keenam pula, dia didakwa melakukan kesalahan yang sama menggunakan akaun bank berbeza untuk menerima suapan daripada individu yang sama di lokasi yang sama pada tarikh yang berbeza di antara 2 Mei hingga 28 Julai tahun 2020.
Tertuduh didakwa mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara untuk tempoh tidak melebihi dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Hakim kemudiannya memerintahkan tertuduh membayar ikat jamin RM20,000 dan deposit RM5,000 dengan dua orang penjamin tempatan.
Sementara itu tertuduh turut diperintah melapor diri di pejabat SPRM Keningau setiap dua bulan sekali dan diarah menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Kes dikendalikan oleh pegawai pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan sementara tertuduh tidak diwakili peguam.