Pegawai penguatkuasaan kekang pencemaran sungai ditambah - Amirudin

Hasimi Muhamad
Oktober 21, 2020 17:14 MYT
Amirudin berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan unit Pakar Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Pasukan Pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menambah pegawai dan kakitangan kontrak bagi meningkatkan kawalan. - Gambar fail
SHAH ALAM: Lebih 20 kakitangan penguatkuasaan yang profesional dijangka dilantik dalam masa terdekat dalam usaha mengekang insiden pencemaran air di Selangor.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya telah mengarahkan unit Pakar Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Pasukan Pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menambah pegawai dan kakitangan kontrak bagi meningkatkan kawalan.
“Justeru, kekerapan lawatan terhadap satu-satu kawasan itu akan bertambah baik dan kita akan mengesan awal (kejadian pencemaran).
“Kerajaan negeri berharap dengan pemantauan lebih awal ini akan mengurangkan risiko-risiko pencemaran di samping dapat mengenal pasti dari awal pencemaran daripada berterusan berlaku,” katanya dalam sidang media di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, di sini hari ini.
Katanya, pegawai-pegawai berkenaan akan dilatih untuk mengesan pencemaran, selain perlu memiliki ilmu berhubung pelaksanaan undang-undang yang berkaitan.
Dalam perkembangan lain, Amirudin memaklumkan, LUAS telah melaksanakan tiga langkah bagi merawat pencemaran bau di Sungai Selangor.
Katanya, langkah tersebut adalah bagi memastikan air yang disalur semula ke premis perniagaan dan rumah benar-benar selamat digunakan.
"LUAS melaksanakan operasi pengepaman air kolam (Opak) Bestari Jaya sehingga 336 juta liter sehari dan melepaskan air empangan sungai tinggi serta Sungai Selangor sehingga 1200 JLH selain menaikkan satu pagar sungai (river gate) di Baraj Bestari Jaya.
“Agensi berkenaan turut melaksanakan proses nyahbau di kolam tebatan banjir JPS Sungai Gong," jelasnya.
#Menteri Besar #Amirudin Shari #undang-undang #pencemaran air #Tambah kakitangan #LUAS #Air Selangor #penguatkuasaan
;