Pegawai penguat kuasa salah guna dadah? Ini yang akan dilakukan AADK

Abdul Hadi Che Awang
Ogos 1, 2019 17:48 MYT
ZULKIFLI: odul yang dikenali sebagai 'Modul Tempat Kerja Bebas Dadah' akan menjadi platform yang membantu mana mana individu terlibat dengan dadah.
Mana-mana anggota dan pegawai agensi kerajaan atau bukan kerajaan yang terlibat dalam masalah penyalahgunaan dadah yang serius disarankan mengikuti rawatan mengikut modul khas yang diperkenalkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Itu tegas Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah yang menjelaskan modul yang dikenali sebagai 'Modul Tempat Kerja Bebas Dadah' akan menjadi platform yang membantu mana-mana individu terlibat dengan dadah terutama di tempat kerja, memulihkan diri.
Menurutnya, berdasarkan operasi yang dijalankan sebelum ini, pihak AADK telah mengenal pasti beberapa pegawai penguatkuasa terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan kesemua mereka telah diambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang.
Tegas Zulkifli, pihaknya turut mencari satu penyelesaian konkrit bagi membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan anggota beruniform, agar segala usaha yang dijalankan selama tidak dilihat bersifat sementara dan bermusim.
"Program tempat kerja bebas dadah ini, kita bantu banyak agensi kerajaan dan bukan kerajaan.. jadi termasuklah polis, kalau ada.
“Kita boleh membantu sama untuk membuat program bebas dadah ini supaya menguatkan lagi atau memperkasa aspek perlindungan, mengurangkan risiko, dan menguatkan perlindungan kepada mereka terlibat dengan dadah,” ujar beliau.
Zulkifli berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan ke beberapa buah pulau kecil di daerah Langkawi untuk dijadikan pusat rawatan dadah bersepadu, pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Zulkifli turut berharap agar semua agensi penguatkuasaan termasuk pihak polis dapat memberikan kerjasama baik dengan pihak AADK terutama dalam membanteras kes membabitkan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pegawai dan anggota.
Pada Isnin, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mendedahkan bahawa kira-kira 30 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah ditahan kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah sejak Januari lalu.
Tegasnya, tambah membimbangkan, setiap minggu ada sahaja anggota PDRM ditahan kerana mengambil dadah terutama jenis syabu.
#AADK #Agensi Anti Dadah Kebangsaan #bukan kerajaan #kerajaan #modul bebas dadah #penguat kuasa #salah guna dadah
;