Pegawai penguat kuasa lupus diesel bawah harga pasaran ditahan
Bernama
Februari 13, 2025 22:21 MYT
Februari 13, 2025 22:21 MYT
Mengikut sumber SPRM, lelaki berusia 50-an itu ditahan kira-kira 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri. - Foto SPRM
ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan seorang pegawai penguat kuasa kerana disyaki menerima rasuah bagi melupuskan minyak diesel bernilai RM87,400 di bawah harga pasaran baru-baru ini.
Mengikut sumber SPRM, lelaki berusia 50-an itu ditahan kira-kira 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri di sini.
Sumber itu berkata suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan pada tahun ini dengan menerima rasuah sebagai dorongan untuk melupuskan 46,000 liter minyak diesel.
"Diesel itu dilupuskan di bawah harga pasaran iaitu RM1.90 seliter berbanding harga pasaran yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) iaitu RM2.95 seliter," katanya.
Sumber itu seterusnya menyatakan pelupusan berkenaan dilakukan ke atas minyak yang merupakan hasil rampasan daripada tindakan penguatkuasaan melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 115(1)(c) Akta Kastam 1967.
SPRM-TAHAN 2 (AKHIR) ALOR SETAR
"Namun hanya 30,000 liter diikrarkan sebagai pelupusan, manakala bakinya disyaki dilupuskan tanpa diikrarkan dengan menerima rasuah berjumlah RM30,400 yang dibayar secara tunai," katanya.
Difahamkan suspek direman selama tujuh hari sehingga 19 Feb ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor di sini pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA