Pegawai penguat kuasa agama perlu cerminkan sifat berhemah ketika bertugas
Bernama
September 27, 2016 12:36 MYT
September 27, 2016 12:36 MYT
Para pegawai penguatkuasaan agama perlu mencerminkan keindahan Islam dengan sifat-sifat berhemah ketika memenuhi tugas, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Baginda bertitah dalam melaksanakan sesuatu operasi, pegawai penguatkuasaan agama juga perlu mengamalkan pendekatan berdakwah untuk menyeru ke jalan kebaikan, memanggil pihak yang melakukan kesilapan untuk diberikan nasihat secara tertutup serta mengaturkan sesi bimbingan dan kaunseling.
"Modus operandi kakitangan penguatkuasaan Jabatan Agama Islam hendaklah berpandukan pendekatan preventif dan bukannya pendekatan punitif," titah baginda pada Majlis Pelancaran Logo dan Pelan Strategik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah pegawai penguatkuasaan agama berada di barisan hadapan dan mereka terdedah kepada penilaian umum.
Justeru, titahnya perbuatan para pegawai penguatkuasaan yang memperlihatkan kuasa sehingga meminggirkan adab, tertib dan sopan, bukanlah budaya yang dianjurkan oleh Islam.
"Tindakan secara kasar dan keras, merendah-rendah dan memperkecilkan hingga mengakibatkan orang merasa terhina, dizalimi dan diaibkan termasuk secara lisan tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana pegawai penguatkuasaan agama," titahnya.
Sultan Nazrin bertitah para pendukung amanah wajib diserahkan kepada mereka yang ahli dalam bidangnya, menghormati hukum dan melaksanakan hukum secara adil pada setiap masa tanpa memilih kasih dan berasa gentar.
"Tugas wajib disempurnakan secara berhemah, terutama dalam kalangan mereka yang telah diamanahkan dengan kuasa," titah baginda.
Dalam pada itu, baginda bertitah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) turut mengambil langkah merangka pelan strategik untuk tempoh lima tahun akan datang.
"Pelan strategik ini ialah komponen pengisian yang mengandungi rangka kerja tindakan untuk mencapai misi dan objektif MAIPk," titahnya.
Sultan Nazrin bertitah dalam tempoh lima tahun pelaksanaannya, pelan strategik ini harus memberi ruang kepada pengubahsuaian.
"Teknologi pada hari ini, berubah dengan fasa yang tersangat laju. Situasi ekonomi dan urus niaga dunia, begitu jua senario politik dan urus tadbir dunia tidak kekal statik.
"Penemuan baharu terus berlaku, perubahan turut berlaku sepanjang masa. Apa yang hari ini disifatkan baharu, boleh menjadi sejarah dan boleh menjadi jumud dalam tempoh masa yang singkat.
"Oleh itu, MAIPk hendaklah berwaspada, peka dan cerdas untuk membaca dan mentafsir dinamik yang berlaku serta sedia melakukan pengubahsuaian kepada strategi yang telah diperkenankan ini, selaras dengan perkembangan dan perubahan, senario semasa dunia dan negara," titah baginda.
Baginda bertitah pembinaan imej dan reputasi serta membina persepsi positif masyarakat terhadap MAIPk adalah komponen yang amat perlu diberikan perhatian.
Titah baginda, pengendalian dan pengurusan media, amat penting diurus secara profesional supaya media dapat membantu membina imej dan reputasi MAIPk agar masyarakat mempunyai persepsi positif terhadap majlis agama itu.
"Amatlah silap jika organisasi bersikap pasif dan berandaian bahawa masyarakat akan dapat memahami niat baik yang mahu mereka laksanakan.
"Amalan yang kurang bersifat 'anticipative', amalan yang tidak proaktif, atau amalan yang lebih cenderung bersifat defensif, selepas berlakunya sesuatu kesalahfahaman, sudah tidak sesuai lagi.
"Era ini adalah era yang menuntut pengurusan mengamalkan budaya ketelusan dan keterbukaan maklumat. Oleh itu, Yang Dipertua dan ahli-ahli serta pengurusan MAIPk wajib mengurus imej MAIPk dan persepsi awam secara profesional," titah baginda.
Mengenai logo majlis agama Islam itu, Sultan Nazrin bertitah ia dilakar untuk memberi satu identiti kepada MAIPk.
"Logo ini hanyalah satu lakaran di atas kertas, logo ini, sekadar satu simbol, satu lambang.
"Yang lebih penting dibina, ialah imej dan reputasi serta persepsi positif dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam terhadap MAIPk," titah baginda.