Pegawai menteri mula kosongkan pejabat, pembubaran Parlimen dalam masa terdekat?

Astro Awani
Oktober 5, 2022 22:08 MYT
Tarikh pembubaran Parlimen terus menjadi topik hangat beberapa hari ini, dengan Perdana Menteri masih 'mengunci' mulut mengenai perkara penting itu. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tarikh pembubaran Parlimen terus menjadi topik hangat beberapa hari ini, dengan Perdana Menteri masih 'mengunci' mulut mengenai perkara penting itu.
Masih berteka-teki, namun, desas-desus bahawa pembubaran Parlimen akan dibuat dalam masa terdekat semakin bertiup kencang.
Desas-desus itu dikuatkan lagi dengan tindakan beberapa pegawai lantikan politik di kementerian yang bertindak mengosongkan bilik masing-masing bermula Rabu.
Salah seorang pegawai terlibat turut berkongsi di media sosial dengan mengatakan sudah siap berkemas mengosongkan pejabat.
"Dah siap berkemas untuk kosongkan pejabat. Saya rasa bersyukur dapat diberi peluang berkhidmat sekali lagi dalam kerajaan," tulisnya.
Bagaimanapun, beberapa jam selepas itu, pegawai berkenaan dilihat menjelaskan tiada arahan dikeluarkan untuk mengosongkan pejabat di Putrajaya, sebaliknya sebagai persediaan awal menghadapi kemungkinan parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.
"Jika tiada pembubaran Parlimen selepas Sidang Dewan Rakyat berakhir, saya akan kemas balik ofis di Putrajaya," jelasnya.
Sebelum ini, semasa bercakap kepada media, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Khamis, iaitu sehari sebelum pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat.
Selain Bajet 2023, perincian mengenai sesi menghadap iaitu sama ada ia turut melibatkan pembubaran parlimen , masih menjadi tanda tanya.
#Bajet 2023 #Parlimen #ismail sabri yaakob #Yang di-Pertuan Agong #bubar parlimen #media sosial
;