Pegawai KPI lapor prestasi portfolio barisan Exco Johor - MB
Bernama
Mei 2, 2019 12:24 MYT
Mei 2, 2019 12:24 MYT
Meskipun baru hampir tiga minggu memegang jawatan Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal mempunyai visi dan misi jelas mahu melihat negeri itu lebih maju dan makmur di bawah pentadbirannya.
Antara fokus utama beliau ialah memastikan setiap rancangan di bawah portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) masing-masing terutama yang berkait rapat dengan kebajikan rakyat.
Kurang sebulan dari pelantikannya, anak kelahiran Muar itu telahpun melantik seorang pegawai KPI di pejabatnya dan juga di semua 10 portfolio yang ada.
"Menerusi pegawai KPI itulah, saya akan lihat betapa bagusnya dan apa pencapaian yang beliau (Exco) berjaya capai selama mereka bertugas.
"Saya cukup yakin Exco-Exco (yang dilantik), mereka semua mesra kepada ketua jabatan dan saya harapkan mereka semua selesa bekerjasama dengan ketua-ketua jabatan, jadi, saya rasa tiada isu untuk kami tidak capai apa pun perancangan yang sudah dibuat sebelum ini," kata beliau dalam satu temu bual di pejabatnya di Kota Iskandar, baru-baru ini.
Menurut Dr Sahruddin, pegawai-pegawai KPI yang dilantik akan memberi laporan terus kepadanya setiap bulan untuk beliau menilai sendiri tahap prestasi barisan Exco dan jabatan-jabatan di bawah semua portfolio berkenaan.
Meskipun terdapat perubahan portfolio, terdapat lapan Exco masih dikekalkan dalam barisan Exco yang baru, di mana mereka ini telahpun bekerjasama dengan ketua-ketua jabatan sebelum ini dan turut mempunyai hubungan yang baik dengan mereka.
"Jadi, sebetulnya tidak ada banyak sangat perubahan terjadi. Saya cukup yakin Exco-Exco ini semua mesra kepada ketua-ketua jabatan, jadi, saya rasa tiada isu untuk kami tidak capai apa pun perancangan yang sudah dibuat sebelum ini.
"Saya pun tidak mengubah terlalu banyak perancangan dan manifesto yang kita tetapkan (sebelum ini)," tambah Menteri Besar.
Berusia 43 tahun, Dr Sahruddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang ke-17 pada 14 April lepas di Istana Bukit Serene, menggantikan Datuk Osman Sapian yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar pada 8 April, tahun ini.
Untuk meneruskan kelangsungan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang masuk hampir setahun memerintah di Johor, Dr Sahruddin turut menetapkan empat hala tuju pentadbiran beliau.
Pertama, menjamin keharmonian politik untuk kelestarian ekonomi Johor dan kedua, kesepakatan rakyat untuk kesejahteraan dan kemakmuran Bangsa Johor.
"Ketiga, peningkatan ekonomi rakyat untuk taraf dan kualiti hidup yang lebih selesa dan keempat, inovasi untuk pelaburan domestik dan antarabangsa Johor.
"Apa pun teras dan idea daripada Tok Man (Datuk Osman Sapian) yang lepas dan akan dibuat, kita akan mantapkan dan selarikan dengan apa pun pelan yang kita rancangkan," tambah Dr Sahruddin.
-- BERNAMA
#Dr Sahruddin Jamal
#EXCO Johor
#KPI
#mb johor
#Menteri Besar
#Osman Sapian
#Pakatan Harapan
#Petunjuk Prestasi Utama