Pegawai KPDNHEP direman, dipercayai minta rasuah RM3,000 selesaikan kes gas LPG

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 14, 2022 13:25 MYT
Suspek berusia 48 tahun itu tiba di mahkamah pada 10.30 pagi berpakaian baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - Foto Astro AWANI
GEORGE TOWN: Seorang Penolong Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang direman selama empat hari di Mahkamah Majistret George Town , hari ini selepas dipercayai meminta rasuah bernilai RM3,000.
Perintah tahanan reman bermula hari ini sehingga 17 Mei itu dikeluarkan Majistret Tunku Intan Nadiah Tunku Mohammed Nazarin selepas Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), G. Jayaraj membuat permohonan di Mahkamah hari ini.
Suspek berusia 48 tahun itu tiba di mahkamah pada 10.30 pagi berpakaian baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sumber SPRM berkata, suspek yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Timur Laut di George Town ditahan petang Jumaat di Bayan Baru ketika menerima wang berkenaan daripada pengadu.
Wang sebanyak RM3,000 itu dipercayai sebagai balasan untuk menyelesaikan satu kes yang berlaku pada 2021 serta tidak diambil tindakan ke atas pengadu atas kesalahan memiliki gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi melebihi had kuantiti dibenarkan.
Suspek dipercayai melakukan kesalahan itu sejak tahun lalu dan pengadu berkenaan membuat laporan kepada SPRM awal bulan ini.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan suspek ditidak diwakili peguam.
#penguatkuasa KPDNHEP #KPDNHEP Pulau Pinang #Rasuah #SPRM
;