Pegawai Kor SUKSIS diingat sentiasa terap prinsip Rukun Negara

Bernama
September 9, 2023 19:03 MYT
Pengarah JPJKK Bukit Aman Datuk Seri Aidi Ismail (kanan) hadir pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa Siswi Universiti Awam kali ke-19 di UniSZA di sini hari ini. - Foto Be
KUALA NERUS: Pegawai Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) diingatkan agar sentiasa menerapkan prinsip Rukun Negara dalam kehidupan mereka sekali gus membantu mengekalkan keharmonian dalam masyarakat yang berbilang bangsa.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Aidi Ismail berkata mereka turut diminta menggunakan ilmu kepolisan yang diperoleh selepas menjalani latihan selama tiga tahun sebaiknya, demi memastikan keselamatan negara kekal terpelihara.
"Sebagai pewaris negara, golongan belia harus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang secukupnya bagi menghadapi arus peradaban yang semakin mencabar.
"Begitu juga semangat kecintaan kepada negara yang perlu disemai dan dipupuk dalam jiwa belia hari ini," ucapnya pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor SUKSIS Universiti Awam ke-19 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.
Seramai 690 Inspektor Kor SUKSIS dari 12 universiti awam dan empat kampus cawangan Universiti Teknologi MARA berjaya menamatkan latihan mereka.
Aidi berkata latihan serta ilmu kepolisan yang diperoleh menjadi pakej pelengkap kepada Pegawai Kor SUKSIS untuk muncul sebagai individu yang memiliki sahsiah cemerlang sekali gus menjadi pemimpin berkaliber dan berpengetahuan dalam bidang berkenaan.
"Pelatih Kor SUKSIS perlu menjalani latihan selama tiga tahun atau enam semester yang melibatkan 672 jam secara keseluruhan mengikut sukatan latihan yang telah diselaras dan ditetapkan di semua universiti awam.
"Sehingga kini kita telah berjaya melahirkan 18,332 pegawai yang dididik dan disemai dengan jati diri tinggi dan penuh dengan ilmu kepolisan," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap Pegawai Kor SUKSIS dapat menceburkan diri dalam dunia kepolisan dengan memohon sebagai pegawai polis kelak.
Menurutnya pada masa ini, seramai 3,437 pelatih Kor SUKSIS daripada 31 universiti awam di seluruh negara sedang menjalani latihan di universiti masing-masing.
-- BERNAMA
#Pegawai Kor Suksis #Prinsip Rukun Negara #PDRM #Aidi Ismail
;