Pegawai Khas ADUN Sg Manik antara tiga maut kemalangan di Bota
Nazialita Geynna Maharan
Disember 13, 2017 12:59 MYT
Disember 13, 2017 12:59 MYT
Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Ahmad Nor Al-Zaidin Ahmad Azzudin antara tiga yang terbunuh apabila kenderaan yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori sebelum terjunam ke dalam parit di sini, pagi tadi.
Kemalangan di Kg Teluk, Jalan Bota Kanan-Teluk Intan, Perak itu turut mengorbankan isteri mangsa, Norhaslina Abd Razak, 27, serta adiknya, Nor Azira Ahmad Azzudin, 24.
Mereka dipercayai dalam perjalanan ke Teluk Intan dari rumah mereka di Tapak Semenang, Bota.
Menurut Pegawai Bomba Kanan II, Wan Zakari Wan Mohd Noor pihaknya menerima maklumat sekitar 7.26 pagi dan bergegas ke lokasi.
“Kejadian melibatkan sebuah lori dan Proton Saga FLX dan ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian
“Kami mengeluarkan mangsa dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan menggunakan pemotong hidraulik dan pihak penarik kenderaan turut mengeluarkan Proton Saga itu,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, operasi mengambil masa empat jam dan berakhir sekitar 11.04 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan kejadian itu.
"Dalam insiden tersebut pemandu lori dan kelindannya selamat. Semua mayat mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk tindakan lanjut," katanya lagi.
#Adun Sg Manik
#Ahmad Nor Al-Zaidin Ahmad Azzudin
#bomba
#Bota
#Pegawai Khas Adun Sungai Manik
#Teluk Intan
#terjunam parit