Pegawai keselamatan rugi lebih RM300,000 ditipu phone scam
Bernama
Mac 10, 2025 18:45 MYT
Mac 10, 2025 18:45 MYT
Seorang pegawai keselamatan sebuah syarikat swasta di sini mengalami kerugian RM303,750 selepas diperdaya sindiket 'phone scam'. - Foto hiasan
CHUKAI: Seorang pegawai keselamatan sebuah syarikat swasta di sini mengalami kerugian RM303,750 selepas diperdaya sindiket 'phone scam'.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata ia bermula pada bulan Disember tahun lepas apabila lelaki berumur 40 tahun itu dihubungi ahli sindiket yang menyamar sebagai anggota polis.
Beliau berkata suspek mendakwa lelaki itu akan dikenakan tindakan kerana didapati terlibat dalam penyalahgunaan dadah serta penggubahan wang haram.
"Lelaki itu yang panik dan takut, telah membuat 15 kali transaksi berjumlah RM303,750 ke sembilan akaun bank berbeza daripada 29 Disember 2024 hingga 24 Februari lepas.
"Selain wang simpanan, pengawal keselamatan itu turut membuat pinjaman peribadi dan meminjam wang dari rakan-rakan bagi mengelak berdepan hukuman," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun Mohd Razi berkata selepas menyedari ditipu, lelaki itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman 12.57 tengah hari semalam, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA