Pegawai kerajaan perlu persiapkan diri dengan kemahiran di lapangan - Sultan Kedah
Bernama
November 3, 2023 17:52 MYT
November 3, 2023 17:52 MYT
PUTRAJAYA: Pegawai kerajaan perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran di lapangan serta kemampuan mengatur strategi untuk berdepan sebarang bencana yang melanda negara, titah Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Baginda bertitah dalam keadaan negara yang sering diuji dengan bencana alam di luar jangkaan, pegawai kerajaan yang berkebolehan mengatur strategi dan melaksanakannya dengan baik serta sempurna, adalah amat diperlukan.
"Kemahiran di lapangan haruslah dimiliki bagi mengemudi dan menggerakkan aset serta jentera kerajaan dan agensi dalam menguruskan tindakan pemulihan ekoran bencana alam yang berlaku ke atas rakyat jelata," titah baginda pada Majlis Penutup Program Pengukuhan Kepimpinan Pegawai Tadbir Negeri Kedah dan Kursus Minggu Eksekutif Tahun 2023 di sini hari ini.
Sultan Sallehuddin yang juga Kolonel Yang Dipertua Rejimen Askar Melayu Diraja dan Kor Perkhidmatan Diraja bertitah program pengukuhan berlandaskan modul ketenteraan itu mampu memperkasakan nilai jati diri pegawai kerajaan untuk berhadapan dengan sebarang senario yang akan dihadapi kelak.
Baginda bertitah program kepimpinan ketenteraan adalah satu pendekatan terbaik untuk memperkemaskan strategi dan mekanisme pengurusan sesebuah organisasi.
Sambil menzahirkan rasa dukacita terhadap konflik yang sedang berlaku di Gaza dan kekejaman rejim Zionis Israel terhadap orang awam, Sultan Sallehuddin menyeru rakyat untuk sentiasa bersyukur kerana pejuang-pejuang kemerdekaan telah berjuang dan berkorban demi memastikan ibu pertiwi bebas daripada cengkaman penjajah.
Walaupun Malaysia aman merdeka, baginda bertitah adalah menjadi tanggungjawab para penjawat awam seperti Perkhidmatan Tadbir Negeri Kedah (KCS) dan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) berada dalam tahap kesiapsiagaan terbaik pada setiap masa agar dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab untuk berbakti kepada negeri dan negara yang tercinta.
Pada majlis itu, Sultan Sallehuddin berkenan menyempurnakan penyampaian sijil kepada 82 peserta Kursus Minggu Eksekutif yang dianjurkan oleh Maktab Ketahanan Nasional (MKN).
Antara peserta yang hadir terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan Kedah, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan PTD.
Kursus Minggu Eksekutif itu diadakan untuk memperkukuhkan kesedaran mengenai aspek keselamatan dalam kalangan peserta, serta peranannya kepada pembangunan kestabilan negara.
-- BERNAMA