'Pegawai kerajaan hari ini tidak menepati piawaian' - Nur Jazlan

Astro Awani
Jun 21, 2015 09:42 MYT
Kualiti yang ada pada pegawai kerajaan hari ini sebenarnya tidak menepati piawaian yang sepatutnya.
Pembentangan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 siri 2 pada 15 Jun lalu menyingkap pelbagai kepincangan yang berlaku dalam jabatan kerajaan, khususnya membabitkan hal pengurusan kewangan.
Ini sekali gus mengundang persoalan dan keraguan orang ramai apabila membincangkan soal integriti jabatan-jabatan terbabit.
Antara yang terkesan dengan situasi ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Beliau yang mula dilantik mengetuai PAC pada tahun 2013, kecewa kerana 'ketirisan' yang berlaku adalah kerana sikap sambil lewa pegawai bertanggungjawab.
Dalam wawancara dengan Utusan Malaysia, Nur Jazlan memberitahu, kualiti yang ada pada pegawai kerajaan hari ini sebenarnya tidak menepati piawaian yang sepatutnya.
Kurangnya sikap ambil tahu dan pengetahuan tentang tugas yang dipertanggungjawabkan, mewujudkan banyak 'lompong' yang sukar ditampung, sekali gus membawa kepada hasil yang banyak cacat celanya.
"Apa yang berlaku, mereka tidak hirau, tidak baca peraturan kerajaan yang ada sekarang dan dalam banyak kes mereka tidak ikut. Itu yang jadi sekarang. Ini yang menyebabkan kerja PAC dan Jabatan Audit Negara susah," kata Nur Jazlan.
Menyentuh isu kelemahan dalam pengurusan kewangan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), beliau mencadangkan agar satu standard pengurusan kewangan yang lebih tinggi dan teratur diwujudkan.
Ia, kata Nur Jazlan, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan memandangkan pihak pengurusan terlibat hanya perlu menjaga dan menguruskan apa yang berada dalam lingkungan institusi itu sahaja.
"Bagi saya, sepatutnya universiti menggunakan standard pengurusan kewangan yang lebih tinggi daripada orang lain sebab mereka menjadi pendidikan generasi akan datang.
"Kerajaan juga berbelanja berbilion ringgit setahun untuk bajet universiti dan mereka hanya jaga kawasan dalam universiti sahaja," ujarnya.
Nur Jazlan juga meluahkan kebimbangan tentang masa hadapan aset kerajaan, terutama membabitkan aset tak alih seperti kuarters kediaman penjawat awam.
Bangunan yang uzur perlu dibaik pulih dan ia memakan kos yang amat tinggi.
Hal itu disifatkan sebagai satu isu besar memandangkan kebanyakan daripada penjawat awam ini tidak punya kemampuan untuk menyewa dan memiliki kediaman sendiri.
Dalam pada itu, Nur Jazlan turut memberitahu beliau berpuas hati apabila saranan PAC agar Kementerian Kewangan memberikan maklum balas secara bertulis berkaitan tindakan yang telah diambil ke atas pegawai-pegawai yang disyorkan, diikuti.
Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga antara yang telah mengambil langkah proaktif dengan bukan sekadar memberikan laporan rasmi kepada PAC, tetapi juga telah membuka semula dua kes yang sebelum ini sudah diteliti dan ditutup fail.
Sedar adalah agak sukar untuk membanteras 'ketirisan' yang berlaku sepenuhnya, Nur Jazlan berharap agar pegawai yang dipertanggungjawab dengan sesuatu tugas agar lebih beretika dan berintegriti, selain cuba memastikan agar wujudnya ketelusan dalam jabatan masing-masing.
"Bilangan pegawai kerajaan pun lebih sejuta orang dan keluasan Malaysia pun menimbulkan masalah untuk menguruskan kewangan dengan baik. Tetapi yang penting matlamat kita untuk mengurangkan jumlah ketirisan, penyalahgunaan kuasa, elemen rasuah dan sebagainya," katanya.
#Datuk Nur Jazlan Mohamed #Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara
;