Pegawai kanan polis terlibat dalam Geng Nicky sudah ditahan - Ayob Khan

Astro Awani
April 22, 2021 15:01 MYT
Menurut Ayob Khan, polis juga sudah mendapat kelulusan bagi menyenaraikan nama ahli perniagaan dalam buruan, Geng Nicky dalam senarai individu dikehendaki selain dikenakan notis merah oleh polis antarabangsa. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Polis Johor mengesahkan tangkapan seorang pegawai kanan polis berhubung jenayah terancang, Geng Nicky.
Bagaimanapun, kenyataan lanjut mengenai tangkapan itu tidak dikeluarkan kerana operasi masih berjalan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kenyataan penuh mengenai kes terbabit akan diberikan sebaik tangkapan selesai dibuat.
Katanya, akan ada tangkapan susulan lagi berkaitan Geng Nicky.
“Kalau saya keluarkan satu demi satu kenyataan mengenai tangkapan akan menjejaskan operasi yang sedang berjalan.
“Insya-Allah apabila siap tangkapan nanti, saya akan buat sidang media untuk memaklumkan hasil keseluruhan operasi. Apa yang pasti, operasi ini masih lagi berterusan dan akan ada lagi tangkapan susulan,” kata beliau dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.
Jenayah | Geng Nicky dipercayai masih berada dalam negara
BACA: Polis minta bantuan Interpol kesan Nicky Liow
Dalam perkembangan berkaitan, Ayob Khan memberitahu, polis juga sudah mendapat kelulusan bagi menyenaraikan nama ahli perniagaan dalam buruan, Geng Nicky dalam senarai individu dikehendaki selain dikenakan notis merah oleh polis antarabangsa semalam.
Notis merah Nicky Liow mendapat kelulusan pada 20 April lalu, manakala isterinya, Niu Zhe yang juga warganegara China sehari kemudian.
#Geng Nicky #pegawai kanan polis #polis johor #ayob khan mydin pitchay
;