Pegawai kanan, 6 anggota polis ditahan berkaitan kes pemerasan, cabul

Sinar Harian
Oktober 12, 2024 13:45 MYT
Rusdi (tengah) ketika sidang akhbar selepas Hari Sukan Negara 2024 peringkat IPK Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintenden bersama enam anggota ditahan pada Jumaat bagi siasatan berkaitan kes pemerasan dan cabul melibatkan seorang wanita, 1 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, tangkapan berkenaan dijalankan susulan laporan yang dibuat mangsa warga tempatan berumur 22 tahun pada 7 Oktober.
"Sebelum ini tiga lelaki tempatan berumur antara 30 hingga 50-an telah ditahan berkaitan kejadian namun telah dibebaskan dengan jaminan polis.
"Susulan siasatan selanjutnya dijalankan kemudiannya membawa tangkapan terhadap tujuh individu yang terdiri daripada seorang pegawai kanan berpangkat Asisten Superintenden dan enam anggota polis berumur antara 30 hingga 50-an," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas program larian sempena Hari Sukan Negara 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Sabtu.
Tambah beliau, pihaknya menafikan kononnya tiada tindakan lanjut berkaitan kejadian.
"Ada dakwaan mengatakan polis lewat mengambil tindakan susulan kejadian, perlu faham, sebarang tindakan dijalankan perlukan semakan dan siasatan yang teliti.
"Ini termasuk melibatkan semakan berkaitan dakwaan terdapat transaksi wang yang dilakukan, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta mangsa juga difahamkan lewat membuat laporan, kesemua ini perlukan siasatan terperinci sebelum sebarang tindakan diambil," katanya.
Menurutnya, tangkapan melibatkan pegawai kanan dan enam anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Cheras itu bagi siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
"Kesemua suspek direman tiga hari untuk siasatan lanjut," katanya.
Terdahulu, tular di aplikasi Telegram seorang wanita mendakwa menjadi mangsa pemerasan dan cabul sekumpulan individu dalam serbuan di unit sebuah kondominium di Cheras.
Mangsa mendakwa diugut sekumpulan anggota polis yang meminta wang sebanyak RM150,000 sebelum dikurangkan kepada RM90,000 selepas menemui dadah di dalam pemilikan mangsa.
Bagaimanapun, mangsa dibebaskan selepas dibantu seorang lelaki tempatan membuat pembayaran sebanyak RM10,000 dan perlu membuat bayaran semula secara berkala. -- Sinar Harian
#pegawai kanan polis ditahan #kes pemerasan #cabul #Ketua Polis Kuala Lumpur #Rusdi Mohd Isa
;