Pegawai, kakitangan Kedutaan Korea Utara dihantar pulang
Astro Awani
Mac 21, 2021 11:18 MYT
Mac 21, 2021 11:18 MYT
KUALA LUMPUR: Bas yang membawa pegawai dan kakitangan Kedutaan Korea Utara berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebentar tadi.
Ia bagi membolehkan mereka menaiki penerbangan pulang yang dipercayai akan berlepas pada petang nanti, lapor Sinar Harian.
Terdahulu, kenderaan berkenaan tiba di bangunan kedutaan di sini kira-kira jam 9.15 pagi tadi.
Tinjauan wartawan mendapati bendera Korea Utara sudah pun diturunkan, manakala papan tanda kedutaan ditanggalkan dari pintu masuk.
Laluan di hadapan kedutaan juga sudah ditutup dan dikawal ketat oleh Polis Diraja Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia sejak pagi tadi.
Turut kelihatan hadir adalah wartawan dan agensi berita tempatan dan luar negara yang membuat liputan sejak pukul 7 pagi tadi.
Pada Jumaat, Malaysia memberi tempoh 48 jam kepada pegawai dan kakitangan Kedutaan Korea Utara untuk meninggalkan negara.
Ia susulan keputusan Korea Utara yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia kerana tidak berpuas hati terhadap tindakan kerajaan Malaysia mengekstradisi seorang warganegaranya ke Amerika Syarikat.
Pada 3 Mac lalu, seorang rakyat negara itu yang dikenali sebagai Mun Chol Myong gagal dalam rayuannya di mahkamah Malaysia untuk mengelak diekstradisi ke AS atas dakwaan melakukan pengubahan wang haram.
#Kedutaan Korea Utara
#Mun Chol Myong
#penerbangan pulang
#KLIA
#putus hubungan
#pejabat kedutaan dikosongkan
#papan tanda kedutaan