Pegawai kadet UPNM didakwa cederakan junior guna seterika wap panas

Bernama
November 8, 2024 11:54 MYT
Pegawai kadet UPNM Amirul Iskandar Norhanizan, (tengah) mengaku tidak bersalah mencederakan juniornya menggunakan seterika wap panas. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan juniornya menggunakan seterika wap panas, bulan lepas.

Ringkasan AI
  • Pegawai kadet ALK UPNM, Amirul Iskandar Norhanizan, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan juniornya dengan seterika wap panas.
  • Pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda atau sebat, dan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan dikenakan terhadapnya.
  • Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 27 Disember, dengan pencegahan terhadap tertuduh dari mendekati saksi-saksi kes.

Amirul Iskandar Norhanizan, 22, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, dengan menggunakan seterika wap yang panas di akademi berkenaan di UPNM, Kem Sungai Besi, Cheras di sini pada 11.45 malam, 22 Okt.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, mengambil kira jenis kesalahan dan keseriusan tindakan tertuduh iaitu menekap seterika wap panas yang menyebabkan dada kanan mangsa mengalami lecur tahap dua.
"Kes ini melibatkan kepentingan awam yang akan menjadi panduan kepada masyarakat terutama pelajar yang membuli pelajar lain dihukum dengan hukuman berat, tetapi ikat jamin tinggi dapat memastikan semua pihak terutama tertuduh dan penjamin tidak memandang rendah peruntukan undang-undang yang membenarkan kesalahan dalam kategori non-bailable offence.
"Oleh itu, pihak pendakwaan memohon supaya tertuduh tidak mendekati saksi-saksi (pendakwaan) bagi tujuan berhubung untuk membincangkan kes ini. Saksi-saksi dalam kes ini ialah rakan seasrama tertuduh, pegawai dan jurulatih UPNM," katanya.
Pegawai kadet didakwa tekap seterika di tubuh pelatih junior
Bagaimanapun, Amirul Iskandar yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan ibu bapanya pesara kerajaan.
"Saya masih lagi belajar dan berjanji setiap perbicaraan saya akan hadir," katanya.
Hakim Egusra Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dimohon pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 27 Dis untuk sebutan kes.
Tertuduh yang memakai kemeja putih lengan panjang tiba di mahkamah pada 9.50 pagi menaiki kenderaan polis serta diiringi beberapa anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras. Turut hadir ibu bapa dan anggota keluarga tertuduh.
Angkatan Tentera Malaysia dalam kenyataan sebelum ini mengesahkan kejadian yang tular dalam media sosial tentang kes buli melibatkan seorang pegawai kadet ALK-UPNM yang ditekap pada bahagian dada dengan seterika sehingga meninggalkan kesan lecur.
Difahamkan, perbuatan itu terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih yang bertugas apabila menyedari terdapat kesan kecederaan pada tubuh mangsa.
-- BERNAMA
#pegawai kader UPNM #cederakan junior #seterika wap panas #Amirul Iskandar Norhanizan #terkini
;