Pegawai JKR ditempatkan di pangkalan feri di Sarawak bermula esok
Lynch Cowan
Januari 4, 2021 19:33 MYT
Januari 4, 2021 19:33 MYT
KUCHING: Kerajaan Sarawak memutuskan untuk menempatkan seorang pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) di setiap pangkalan feri di negeri itu berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, ia bertujuan memantau aspek keselamatan di setiap pangkalan feri.
Untuk rekod, sebanyak 12 buah pangkalan feri sedia ada di Sarawak.
"Selain itu, kita juga akan mewajibkan para penumpang yang menggunakan perkhidmatan feri untuk turun dari kenderaan dan hanya pemandu yang dibenarkan untuk berada di dalam kenderaan dengan menurunkan tingkap sebelum menaiki feri.
"Malah, kita akan mewajibkan setiap penumpang untuk menggunakan jaket keselamatan dan berada di satu kawasan tempat duduk yang bakal disediakan di atas feri itu,” katanya selepas Mesyuarat Khas Keselamatan Feri di Wisma Baitulmakmur, Petra Jaya pada Isnin.
Sementara itu, tambah Julaihi, urusan pembelian tiket tidak lagi dilakukan di atas feri sebaliknya akan dibuat sebelum kenderaan mahupun pemandu menaiki feri berkenaan.
Tegasnya, setiap pemandu juga wajib untuk memberikan maklumat tepat mengenai kondisi kenderaan masing-masing.