Pegawai IT mengaku tidak bersalah sebar berita palsu

Abd Razak Mohd Ali
Julai 12, 2021 12:01 MYT
Tertuduh, Inderpal Singh Devgun, 44, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah apabila tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.
IPOH: Seorang pegawai teknologi maklumat (IT) didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, pada Isnin atas tuduhan menyebarkan berita tidak benar mengenai kesesakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pada Mei lalu.
Tertuduh, Inderpal Singh Devgun, 44, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah apabila tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan aplikasi Tiktok dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan orang ramai mengenai kesesakan di PPV Stadium Indera Mulia di Ipoh, kira-kira jam 2.53 petang, 21 Mei lalu.
Dia didakwa menggunakan profil akaun ‘Blackfitt’ menyebarkan berita tidak benar kononnya mereka yang ada temu janji tidak dibenarkan atau sukar memasuki PPV itu untuk mendapatkan suntikan dos kedua sedangkan 800 orang dari Tabung Haji diberi vaksinasi tanpa temu janji.
Dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,00 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya dan dalam hal suatu kesalahan berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi tiap-tiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Timbalan Pendakwa Raya, Fajrul Shihar Abu Samah memohon mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 tetapi peguam Collin Arvind Andrew memohon jaminan RM5,000.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
#pegawai IT #tuduhan #berita tidak benar #berita palsu #Mahkamah Sesyen Ipoh #Pusat Pemberian Vaksin #Stadium Indera Mulia #Ipoh #Perak #aplikasi Tik Tok
;