Pegawai Imigresen Sungai Bakap maut nahas langgar lari
Adie Sufian Zulkefli
September 4, 2022 16:57 MYT
September 4, 2022 16:57 MYT
SUNGAI PETANI: Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia maut manakala rakan setugasnya cedera selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggang secara berasingan terlibat dalam kejadian langgar lari di Kilometer 83.4 Lebuhraya Utara - Selatan arah utara, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Muhammad Nizam Samsudin, 46, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Rakannya, Zaili Nizam Muhammad, 43, yang merupakan Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan, mengalami patah kaki kanan dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), untuk menerima rawatan.
Menurut Zaidy, kedua-dua mangsa berkenaan menunggang dua buah motosikal jenis Kawasaki KLE650-C dan dilaporkan datang dari arah selatan menghala ke utara.
“Sebuah kereta datang dari arah sama merempuh dari belakang motosikal ditunggangi mangsa yang ketika itu berada di lorong kiri menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu terbabas di lorong kecemasan.
“Dalam masa yang sama motosikal yang ditunggangi rakan mangsa yang sedang bergerak di lorong kecemasan tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal dan mangsa terjatuh di lorong kecemasan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HSAH untuk dibedah siasat.
Kes disiasat memgikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, polis meminta orang awam yang menyaksikan kejadian itu tampil membantu siasatan bagi mengesan kenderaan yang merempuh mangsa dalam kemalangan terbabit.
#langgar lari
#Pegawai Imigresen
#Polis Daerah Kuala Muda
#Lebuhraya Utara Selatan
#PLUS
#Timbalan Penolong Pengarah Imigresen
#Muhammad Nizam Samsudin
#Zaili Nizam Muhammad