Pegawai Imigresen dan Kastam ditempatkan di laluan VIP, elak seludup wang

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 17, 2018 11:18 MYT
Pemasangan mesin tersebut akan menyelesaikan masalah pemeriksaan tubuh badan yang diguna pakai sekarang. - Gambar hiasan
Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan ditempatkan di pintu laluan orang kenamaan (VIP) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan (KLIA2).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata ia termasuk memasang mesin pengimbas (x-ray) JKDM bagi membanteras isu penyeludupan wang.
“Sekarang ini memang tidak ada pegawai Imigresen dan JKDM di laluan VIP. Urusan Imigresen diuruskan oleh pegawai pengiring orang kenamaan tersebut.
“Pengimbas x-tray JKDM akan diletakkan untuk membanteras khususnya isu penyeludupan wang.
“Memang kita sedar dan kita tahu ia satu masalah yang boleh disalahgunakan melalui laluan VIP, kita akan memperketat dan meminta bantuan daripada pihak berkuasa terlibat terutama pihak JKDM untuk atasi masalah ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau bekata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Pang Hok Liong (PH-Labis) yang bertanyakan berkenaan langkah efektif yang akan diambil oleh kerajaan susulan isu penyeludupan wang.
Menjawab isu pemeriksaan badan di lapangan terbang, Siew Fook berkata pengunaan mesin pengimbas penumpang di lapangan terbang di negara ini akan dilaksanakan mulai tahun depan.
Jelasnya, pemasangan mesin tersebut akan menyelesaikan masalah pemeriksaan tubuh badan yang diguna pakai sekarang.
“Saya telah umumkan beberapa minggu yang lepas, dari segi mesin pengimbas tanpa pemeriksaan badan secara fizikal, tidak akan lagi berlaku mulai tahun depan.
“Mesin telah ditempah dan akan dipasang di KLIA di mana pada awal tahun depan kita akan perkenalkannya secara berfasa dan berperingkat,” katanya menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang).
#Anthony Loke Siew Fook #Imigresen #kerajaan #KLIA #KLIA2 #Kuala Lumpur #menteri #Menteri Pengangkutan #rakyat #seludup wang #tubuh badan #VIP
;