Pegawai di kaunter untuk beri kelulusan permohonan pasport dalam talian - KP Imigresen
Bernama
Jun 10, 2022 16:27 MYT
Jun 10, 2022 16:27 MYT
PUTRAJAYA: Pasukan khas yang terdiri daripada pegawai imigresen akan ditempatkan di kaunter-kaunter dengan tugas mereka hanya memberi kelulusan permohonan pasport secara dalam talian.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata langkah itu antara penambahbaikan yang dilaksanakan bagi mengatasi masalah kesesakan ekoran peningkatan mendadak permohonan dan memperbaharui Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA).
Beliau berkata pasukan itu akan ditempatkan di pejabat imigresen sekitar Lembah Klang minggu hadapan selepas pelaksanaannya di Johor Bahru, Johor baru-baru ini menampakkan keberkesanan untuk mempercepatkan proses, sekali gus mengurangkan kesesakan di pejabat dan kaunter imigresen.
"Nampaknya ia berjaya dan formula itu (di Johor Bahru) akan digunakan untuk Lembah Klang," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Khairul Dzaimee berkata Jabatan Imigresen sedang mengumpulkan pegawai dari beberapa negeri untuk menganggotai pasukan itu bagi penempatan di Lembah Klang.
-- BERNAMA