Pegawai DBKL dan peniaga bergaduh sehingga terlucut tudung

T K Letchumy Tamboo
September 24, 2014 13:36 MYT
Sebuah video yang memaparkan gelagat seorang pegawai penguatkuasa DBKL bergaduh dengan seorang peniaga tanpa lesen telah menjadi viral.
Sebuah video yang memaparkan gelagat seorang pegawai penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bergaduh dengan seorang peniaga tanpa lesen di Taman Tasik Permaisuri, telah menjadi viral di laman media sosial.
Video itu pada mulanya memaparkan beberapa pegawai penguatkuasa DBKL mendekati gerai peniaga yang menjual minuman itu, dan menyatakan hasrat untuk menutup gerai itu.
Kelihatan seorang pegawai penguatkuasa memegang tangan peniaga itu dan peniaga itu menepis tangan penguatkuasa tersebut beberapa kali.
Apabila pegawai penguatkuasa itu mencuba memegang tangan peniaga itu lagi, peniaga tersebut naik berang.
“Saya pun cakap elok-elok. Jangan angkat. Sue lah. Bukan saja jual dadah. Saya meniaga.
“Ini barang niaga lah. Kau nak buat apa benda-benda ni semua,” jeritnya kepada pegawai DBKL yang menyerbu gerainya.
Apabila peniaga itu bertindak demikian, seorang lagi pegawai penguatkuasa berkata kepada rakan setugasnya, ‘Biarlah!’.
Tangan pegawai DBKL yang sedang bertugas ditepis berkali-kali oleh peniaga terbabit
Namun, apabila pegawai penguatkuasa DBKL yang memegang tangan peniaga itu menerangkan prosedur majlis tersebut dan cuba menghalang peniaga itu daripada meneruskan kerjanya, peniaga itu bertindak menolak pegawai DBKL berkenaan dan berlaku sedikit pergelutan.
Beberapa pegawai DBKL dan peniaga lain cuba meleraikan kedua-dua wanita itu, namun, pergelutan itu berterusan sehingga kedua-dua tudung wanita yang bergelut itu terlucut.
Sumber: Video Youtube Portal SGB
Video berdurasi 2 minit 52 saat itu itu dikongsi di laman Facebook dan DBKL menjadi bahan tohmahan pelbagai pihak kerana kononnya bertindak kejam terhadap peniaga tersebut.
Seorang pengguna Facebook yang turut memuatnaikkan video itu di laman Facebooknya, berkata kejadian seperti ini boleh dielakkan jika DBKL menggunakan budi bicara dengan mengarahkan peniaga terbabit menyimpan segala kelengkapan perniagaan dalam tempoh yang ditetapkan.
Sementara itu, DBKL, dalam satu kenyataan media berkata wanita tersebut telah bertindak agresif dengan menghalang petugas untuk mengambil tindakan.
“Beliau telah bertindak menarik baju petugas (anggota wanita) sehingga menyebabkan tudung beliau terbuka namun beliau tidak mengalami kecederaan.
“Walau bagaimanapun, pegawai dan anggota petugas lain telah berjaya mententeramkan keadaan. Tangkapan ke atas penjaja wanita tersebut tidak dibuat bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang.
"Barangan yang disita telah dihantar ke Stor Sitaan DBKL setelah keadaan terkawal dan satu Laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Salak Selatan, Cheras berhubung kejadian tersebut.
“DBKL sering mendapat tentangan sebegini semasa mengambil tindakan penguatkuasaan, walau bagaimanapun pegawai dan anggota penguatkuasa telah diarah untuk mematuhi Prosedur Penguatkuasaan (SOP) semasa mengambil tindakan,” kata Pengurus Perancangan Korporat, Dr Ismail Stapa.
Dr Ismail menambah DBKL membuat lawatan susulan di kawasan itu pada 20 September, iaitu semasa hari kejadian, selepas mengeluarkan lapan notis kesalahan kepada lapan penjaja tanpa lesen di lokasi berkenaan pada 16 September.
“Lawatan susulan dan pemantauan itu melibatkan 15 orang pegawai dan anggota penguatkuasa dengan bantuan tiga buah kren tunda mendapati 15 penjaja (enam penjaja berlesen dan sembilan penjaja tanpa lesen) sedang beroperasi.
“Pada tarikh tersebut, sejumlah lapan orang penjaja telah diambil tindakan sita tanpa gangguan.”
#DBKL #gaduh #peniaga #taman tasik permaisuri #tarik tudung #viral
;