Pegawai Daerah Tongod cadang bina jambatan lebih besar

Astro Awani
Julai 24, 2019 00:38 MYT
Rashid berkata, jambatan baru itu dirancang akan dibina pada tahun hadapan.
Bagi menjamin keselamatan dan keselesaan penduduk Kampung Porotawoi dan Kampung Telibu, di Tongod, yang masih bergantung dengan jambatan gantung bagi menyeberang sungai untuk ke sekolah, Pejabat Daerah Tongod mencadangkan sebuah jambatan baru dibina.
Pegawai Daerah Tongod, Rashid Abdul Harun berkata, ia adalah rancangan jangka panjang demi kesejahteraan penduduk kampung terbabit.
Kenyataan dibuat susulan kejadian seorang kanak-kanak lemas dan meninggal dunia akibat terjatuh ke dalam sungai melalui lubang di jambatan itu pada Selasa.
Katanya, jambatan baru akan dibuat dengan rupa bentuk lebih besar dan lebar memandangkan jumlah kanak-kanak yang menggunakannya juga semakin bertambah.
"Untuk masa akan datang, kita mencadangkan sebuah jambatan yang lebih besar dan lebar. Memandangkan jumlah kanak-kanak di dua kampung ini, dalam keadaan sekarang, keadaan jadi agak sesak (di atas jambatan).
"Jadi, itu akan dapat memudahkan dan melancarkan perjalanan kanak-kanak ke sekolah," katanya sambil memaklumkan bahawa jambatan tersebut merupakan satu-satunya jalan pintas penduduk dua kampung itu untuk pergi ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tongod dan Sekolah Kebangsaan Tongod.
"Jadi, kita sangat berharap supaya jambatan baru kelak lebih selamat berbanding dengan yang ada sekarang," katanya kepada pemberita selepas meninjau jambatan gantung tersebut.
Rashid berkata, jambatan baru itu dirancang akan dibina pada tahun hadapan.
Dalam kejadian pada Selasa, seorang murid pra sekolah yang melalui jambatan itu, Aangelliena Juilan, terjatuh ke dalam sungai dan meninggal dunia.
Menurut Rashid, ramai penduduk kampung menggunakan jambatan itu sebagai jalan pintas untuk berjalan kaki ke sekolah kerana jika melalui jalan raya, ia akan mengambil masa yang lebih lama dan jaraknya lebih jauh.
#jalan pintas #jambatan #jambatan gantung #Kampung Porotawoi #Kampung Telibu #lemas #penduduk kampung #sekolah #Tongod
;