Pegawai bomba berbasikal secara solo sejauh 2,020 km kumpul dana
Bernama
Ogos 28, 2020 23:12 MYT
Ogos 28, 2020 23:12 MYT
Berbekalkan minat yang mendalam dalam aktiviti berbasikal, seorang pegawai bomba memanfaatkan kudratnya mengayuh sejauh 2,020 kilometer secara solo bagi mengumpul sumbangan untuk Tabung Kebajikan Anggota Bomba.
Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 38, berkata lebih 63 balai bomba di seluruh Semenanjung disinggahinya sepanjang pengembaraan yang bermula sejak 6 Ogos lepas dan setakat ini, kira-kira RM12,000 berjaya dikumpulkan hasil sumbangan anggota dan pegawai bomba.
Beliau berkata idea mengumpul dana dengan berbasikal itu tercetus selepas insiden enam anggota bomba lemas semasa operasi mencari dan menyelamat di Puchong pada 2018 dan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dalam rusuhan di sebuah kuil, tahun lepas.
"Sejak insiden lemas mengorbankan enam anggota bomba di Puchong dan kes arwah Muhammad Adib, ia menjentik hati saya untuk bantu waris-waris mangsa yang memerlukan.
"Jadi saya gunakan kudrat yang ada untuk menjelajah balai-balai bomba di Semenanjung dengan berbasikal bagi mengumpul sumbangan daripada anggota dan pegawai," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor di sini, hari ini.
Mohd Fakhrul Munir berkata, sasaran awal ialah berbasikal menjelajah ke 63 balai bomba sahaja, namun berbekalkan semangat yang ada, lebih 100 balai bomba telah disinggahinya untuk tujuan itu.
Beliau berkata hasil sumbangan berkenaan akan diserahkan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin untuk disalurkan kepada anggota bomba atau waris mereka yang memerlukan.
Mohd Fakhrul Munir yang juga jurulatih Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah itu berkata, selain mengumpul sumbangan, misi jelajah berbasikal secara solonya juga dilakukan sempena ulang tahun ke-63 sambutan Hari Kebangsaan negara.
"Sasaran menjelajah ke 63 balai bomba adalah juga sempena ulang tahun ke-63 hari kebangsaan dan jarak 2,020 km pula diletakkan kerana tahun ini (2020)," katanya.
Terdahulu, ketibaan Mohd Fakhrul Munir yang berbasikal dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar ke ibu pejabat bomba negeri itu disambut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Amirudin turut mengumumkan sumbangan RM10,000 dari kerajaan negeri untuk tabung berkenaan demi manfaat pasukan bomba dan pihak yang memerlukan.
-- BERNAMA
#abang bomba
#aktiviti berbasikal
#Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa
#pegawai bomba
#Semenanjung
#Tabung Kebajikan Anggota Bomba