Pegawai bomba, anggota ERT parah akibat letupan kebakaran kilang
Bernama
Disember 12, 2021 18:02 MYT
Disember 12, 2021 18:02 MYT
JOHOR BAHRU: Seorang pegawai bomba dan seorang anggota pasukan tindakan kecemasan (ERT) kilang cedera parah manakala seorang lagi pegawai bomba melecur akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu, di Segamat, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat Penolong Kanan Penguasa Bomba Mazuki Ismail berkata kesemua mereka adalah Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP) Syed Putra Syed Mohd Al Atas, 52, Pegawai Bomba Mohd Firdaus Sulaiman, 32, dan anggota ERT kilang Mohamad Azuraini Mahrani, 40.
"Kita (bomba) menerima panggilan kecemasan kebakaran pada 5.15 pagi. Semasa operasi pemadaman, berlaku satu letupan di tingkat tiga bangunan kilang pada kira-kira 10 pagi yang menyebabkan runtuhan pada struktur bangunan itu.
"Letupan menyebabkan Mohd Firdaus dan Mohamad Azuraini yang berada di tingkat tiga tercampak kira-kira 10 meter ke tingkat bawah manakala Syed Putra yang berada di tingkat bawah melecur di belakang kepala selepas terkena bahang letupan," katanya yang dihubungi Bernama hari ini.
Mazuki berkata Mohd Firdaus dan Mohamad Azuraini kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Segamat manakala Syed Putra menerima rawatan pesakit luar di hospital sama.
Beliau berkata keseluruhannya seramai 22 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat serta Labis terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran di bahagian dandang laluan habuk kayu di tingkat tiga bangunan kilang tersebut.
"Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 10.56 malam tadi, namun punca dan anggaran kerugian sedang disiasat," katanya.
-- BERNAMA