Pegawai bank mengaku tidak bersalah dua tuduhan gangguan seksual

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 4, 2024 10:50 MYT
Rosman didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas dua pertuduhan gangguan seksual terhadap seorang kakitangan bank sama pada tahun 2021. - Foto Astro AWANI
IPOH: Seorang pegawai bank didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan gangguan seksual terhadap seorang kakitangan wanita di bank yang sama, tiga tahun lalu.
Rosman Jamaluddin, 52 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.
Mengikut pertuduhan, bapa empat anak itu didakwa menghantar mesej WhatsApp berbaur lucah dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan mangsa yang berumur 38 tahun, kira-kira jam 10.52 malam, pada 20 Mei 2021.
Lelaki itu turut dituduh melakukan perbuatan sama kira-kira jam 12.08 tengah malam, pada 18 Ogos 2021.
Dia didakwa melakukan kedua-dua pertuduhan itu di sebuah premis yang sama di Jalan Perajurit, Ipoh Garden East, di sini.
Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Peguam Khairil Azwar Khalil yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengeluarkan arahan kepada semua pihak, khususnya Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) untuk menghentikan hantaran serta komen di media sosial mengenai kes itu.
Menurutnya, ekoran hantaran dan komen-komen dalam media sosial, anak guamnya mengalami trauma dan terpaksa menjalani rawatan psikiatri di samping diberi cuti sakit selama tiga minggu.
Mahkamah bagaimanapun hanya menasihati pihak pendakwaan dan polis untuk memastikan agar tiada komen-komen di media sosial yang boleh menimbulkan prejudis terhadap kes itu.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin RM2,500 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, di samping syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 25 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria.
#gangguan seksual #pegawai bank #mesej lucah #mengaibkan kehormatan
;