Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh positif COVID-19

Abd Razak Mohd Ali
November 30, 2020 16:46 MYT
Setakat ini punca jangkitan pegawai berkenaan masih belum diketahui.
KUALA KANGSAR: Seorang pegawai di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh disahkan positif COVID-19 dan sedang menjalani rawatan di hospital.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman, berkata pegawai lelaki berusia dalam lingkungan 30 tahun itu menjalani ujian COVID-19 Sabtu lalu selepas demam dan menunjukkan gejala.
Katanya, susulan itu 11 anggota dari unitnya yang dikesan sebagai kontak rapat diarahkan menjalankan kuarantin kendiri di rumah selepas semua mereka menjalani ujian saringan.
"Walaupun seorang didapati positif dan 11 orang lagi kita beri arahan kuarantin di rumah, ia tidak menjejaskan operasi kita.
"Malah kita juga menerima bantuan daripada balai-balai terdekat seperti mana Balai Pasir Puteh, Meru, Gopeng, Kampar.
"Sekiranya berlaku insiden maka mereka boleh bertindak untuk menangani, khususnya yang berkaitan dengan kebakaran," katanya.
Beliau ditemui ketika Program Kesedaran Keselamatan Aktiviti Di Air di Taman Eko-Rimba Ulu Kenas, Kuala Kangsar, Perak pada Isnin.
Hadir sama Ketua Cawangan Program Kesedaran dan Keselamatan Awam JBPM, Nik Zulkifli Ibrahim.
Azmi berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh mempunyai 97 pegawai serta anggota dan pegawai yang positif COVID-19 bertugas di unit dengan kekuatan 35 anggota.
Beliau berkata, setakat ini punca jangkitan pegawai berkenaan masih belum diketahui.
#bomba #positif #COVID-19 #balai #Ipoh #demam #Simptom #gejala #pengarah #azmi osman
;