Pegawai, anggota tentera didakwa sembunyi bukti kemalangan maut
Bernama
Jun 26, 2024 19:05 MYT
Jun 26, 2024 19:05 MYT
TAWAU: Seorang pegawai dan anggota tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan menyembunyikan bukti berkaitan kes kemalangan maut di Tawau pada Januari tahun lepas.
Leftenan Kolonel Werar Suleiman Ali, 55, dan Koperal Muhammad Hafizuddin Ripin, 29, didakwa secara bersama dengan niat menyembunyikan bukti bagi melindungi barang kes atau bahan bukti kemalangan iaitu sebuah motosikal di Stesen Minyak Shell berhampiran Batu 3, Jalan Apas di sini pada 6 petang, 30 Januari 2023.
Mereka dituduh di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan serta dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain bersama Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia ASP Joan Lee manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Abdul Ghani Zelika serta Vivian Thien.
Mahkamah membenarkan masing-masing diikat jamin RM3,500 dengan dua penjamin tempatan serta menetapkan 31 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.
-- BERNAMA