Pegawai, anggota PDRM diingatkan jangan berselindung di sebalik uniform, kuasa - KPN

Bernama
Disember 20, 2023 15:53 MYT
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika sidang media pada Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Negeri Sembilan di d'Tempat Country Club, hari ini. - Foto Bernama
SEREMBAN: Pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) diingatkan supaya menjaga imej pasukan sebaik-baiknya dan tidak berselindung di sebalik uniform, kuasa mahupun lencana masing-masing untuk melanggar undang-undang.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata mereka sebaliknya perlu terus mendapatkan keyakinan dan kepercayaan daripada rakyat sekali gus memastikan imej PDRM berada di tempat paling atas.
"Kalau tengok banyak benda baik PDRM buat tapi disebabkan satu isu, contohnya kes di Perak baru-baru ini (pegawai kanan polis didakwa melanggar seorang pelajar tingkatan lima), terus menghukum PDRM, padahal banyak isu-isu lebih bagus dilakukan anggota.
"Saya juga pesan perkara ini pada diri saya, bukan kepada anggota dan pegawai sahaja. Jadi lah pegawai yang bagus supaya imej PDRM ini baik," katanya kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Negeri Sembilan di sini hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana anggota tanpa mengira pangkat sekiranya mereka melakukan kes jenayah, salah laku atau tatakelola yang tidak betul.
"Kita tak akan kompromi, malah kita buka kertas siasatan untuk tindakan tatatertib (kepada mereka terlibat). Untuk makluman, saya telah tandatangan tahan kerja kepada pegawai berpangkat DSP itu (pegawai didakwa melanggar pelajar) pada petang itu juga," katanya.
Razarudin turut menasihatkan kesemua anggota supaya menjaga kerjaya masing-masing sekali gus memastikan kebajikan dan keharmonian rumah tangga.
"Sebagai manusia apabila sudah berumah tangga mesti jaga keluarga dan kerjaya tetapi jika tidak jaga kerjaya bagaimana mahu jaga keluarga," katanya.
Terdahulu, seramai 210 pegawai, pesara polis dan waris pesara dalam kontinjen Negeri Sembilan dianugerahkan PJPN dan daripada jumlah tersebut, 143 pesara, bekas polis dan petugas pada era darurat hadir sendiri menerima pingat.
Seramai 12 waris pula hadir mewakili pesara yang uzur atau meninggal dunia selain seramai 55 pegawai polis yang masih berkhidmat turut menerima pingat yang sama.
-- BERNAMA
#pegawai PDRM #Ketua Polis Negara #Razarudin Husain #imej polis #berselindung di sebalik uniform
;