Pegawai, anggota Imigresen perlu amal sikap amanah, taat setia - Zakaria

Bernama
November 2, 2024 22:18 MYT
Zakaria (kanan) menyampaikan Anugerah Keseluruhan Terbaik kepada Mohd Nazmi (kiri) pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Asas, Tinggi dan Pengurusan Keimigresenan Siri 1 Tahun 2024 di Akademi Imigresen hari ini. - Gambar Bernama
PORT DICKSON: Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban hari ini mengingatkan pegawai dan anggota penguat kuasa jabatan itu supaya sentiasa mengamalkan sikap amanah dan taat setia sekali gus memastikan tahap integriti yang tinggi.
Beliau berkata agensi itu seharusnya menjadi contoh dalam mempraktikkan nilai integriti dan ketelusan dalam melaksanakan penugasan.
"Pegawai yang mempunyai masalah disiplin dan integriti tiada tempat di JIM (Jabatan Imigresen) atau mana-mana agensi kerajaan.
"Sebagai antara agensi penguatkuasaan dalam negara, JIM merupakan benteng keselamatan pertama yang menjaga keselamatan dan kedaulatan Malaysia, terutama dalam mengawal selia 141 pintu masuk negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Asas dan Sijil Tinggi Pengurusan Keimigresenan Siri 1/2024 di Akademi Imigresen Malaysia di sini hari ini.
Perbarisan itu melibatkan 361 pegawai terdiri daripada tiga Kadet Penolong Penguasa Imigresen Gred KP29 dan 358 Kadet Pegawai Imigresen Gred KP19 yang menjalani latihan sejak 1 Julai lepas di akademi itu.
Mereka akan bertugas di pintu masuk utama negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor Bahru, Ibu Pejabat Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan JIM negeri.
Sementara itu, Mohd Nazmi Nor Sham, 25, berasal dari Papar, Sabah melahirkan rasa syukur apabila menjadi penerima Anugerah Keseluruhan Kadet Terbaik.
"Setelah dua kali mencuba nasib akhirnya saya berjaya menjadi pegawai imigresen. Saya ingin buktikan bahawa slogan jabatan iaitu 'Integriti, Profesional, Mesra' dapat diaplikasikan dengan melakukan setiap tugasan yang diberi dengan penuh dedikasi.
"Saya berharap apa yang dipelajari semasa sesi latihan di akademi ini dapat menjadikan saya lebih bersemangat untuk melaksanakan tugas dengan lebih cemerlang," kata anak kedua daripada tiga beradik itu.
-- BERNAMA
#anggota penguat kuasa #integriti #Jabatan Imigresen Malaysia #KLIA
;