Pegangan kuat identiti asal halang wujud identiti bangsa Malaysia - Tun M

Bernama
Ogos 16, 2014 17:25 MYT
TUN MAHATHIR: Halangan itu bukan sahaja melebarkan jurang perpaduan tetapi turut membantutkan usaha kerajaan dalam melahirkan generasi baharu bangsa Malaysia - Foto Astro AWANI
Usaha membentuk identiti bangsa Malaysia sukar dicapai kerana rakyat negara ini masih berpegang kuat dengan identiti, budaya dan bahasa masing-masing selepas negara mencapai kemerdekaan hampir 57 tahun, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata halangan itu bukan sahaja melebarkan jurang perpaduan tetapi turut membantutkan usaha kerajaan dalam melahirkan generasi baharu bangsa Malaysia.
Katanya sebaliknya aspek itu berlainan di negara jiran Indonesia, Filipina dan Thailand apabila rakyat pelbagai kaum, bahasa dan budaya menerima satu identiti untuk kepentingan dan masa depan negara.
"Kita di Malaysia bersetuju bahawa masing-masing kekalkan identiti mereka. Ia adalah persetujuan di bawah kontrak sosial pada ketika itu (1957).
"Tetapi kita kekalkan identiti negara asalnya. Atas sebab itu, kita tidak mahu berubah, dan itu tidak akan dapat melahirkan bangsa Malaysia sebenar," katanya dalam sidang media selepas menghadiri diskusi bertajuk 'Evolusi Identiti Anak Muda Malaysia' anjuran Akademi Belia di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Lebih 150 belia dan siswazah daripada institut pengajian tinggi awam dan swasta serta badan bukan kerajaan menghadiri siri kedua diskusi inspirasi itu.
Menurut Dr Mahathir, kurikulum pendidikan negara juga perlu menitikberatkan pembentukkan keperibadian mulia dan bukan ilmu semata-mata dalam melahirkan generasi berwibawa.
"Kita mengisi pelbagai ilmu kepada anak-anak kita, tetapi kita tidak membentuk peribadinya, dengan itu ilmu mungkin disalahgunakan," katanya.
Dr Mahathir juga berpuas hati dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.3 peratus bagi enam bulan pertama 2014, berbanding 4.4 peratus yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.
"Memang baik. Kita boleh tumbuh dengan lebih pesat lagi kalau kita tak ada masalah perbezaan ekonomi antara kaum.
"Kalau kita cuma utamakan pertumbuhan tanpa agihan yang saksama, ia juga mungkin akan membawa kepada masalah ketegangan antara kaum," katanya.
Semalam, Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata negara dijangka mencatat pertumbuhan ekonomi melebihi 5.5 peratus bagi tahun ini ekoran prestasi kukuh yang dicatatkan dalam enam bulan pertama 2014.
##KitaSama #Malaysia #Perdana Menteri #perpaduan #Tun Mahathir
;