Pegang prinsip pembangunan bandar mampan untuk manfaat semua - Tengku Maimun
Madiha Abdullah
September 20, 2023 19:50 MYT
September 20, 2023 19:50 MYT
KUALA LUMPUR: Perancangan dan pembangunan bandar hendaklah diseimbangkan dengan pemeliharaan dan keselesaan awam.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, prinsip yang perlu dipegang ialah pembangunan mampan dan holistik dalam komuniti yang wujud dalam banyak ajaran agama, termasuk Islam.
"Surah Ar-Rum ayat 41 menyampaikan mesej yang mendalam tentang keterkaitan antara perbuatan manusia dan akibatnya, ia menonjolkan bagaimana kerosakan yang nyata di darat dan laut, akibat perbuatan manusia, membawa mereka kepada kesan dalam aspek pembandaran.
"Ayat ini diterjemahkan kepada seruan untuk perancangan bandar yang bertanggungjawab dan bertimbang rasa untuk mencegah kemerosotan alam sekitar dan untuk menggalakkan kesejahteraan generasi sekarang dan akan datang," katanya.
Jelasnya, contoh paling mudah ialah Kota Madinah yang pembangunannya mencerminkan penekanan Islam terhadap masyarakat dan perpaduan sosial.
Beliau juga menegaskan kepentingan kerajaan tempatan untuk bertindak secara telus dan terbuka bagi mewujudkan kemajuan mampan, dan proses kehakiman akan memastikan semua kuasa boleh dikawal.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama Persidangan Nasional Undang-Undang Kerajaan Tempatan 2023: Mengemudi Cabaran, Memampan Masa Hadapan, pada Rabu.
Persidangan dua hari itu bertujuan menyingkap dan membahas isu-isu penting berkaitan tugas, peranan dan tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta pihak berkepentingan berkaitan, dengan menampilkan para penceramah dan ahli panel yang berpengalaman dan berpengetahuan luas sama ada dalam bidang undang-undang dan perlaksanaannya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dalam ucapannya berkata, kerajaan sentiasa cuba memperbaiki kelompongan dalam polisi dan undang-undang berkaitan, namun kebanyakan isu yang timbul tidak hanya berpunca daripada kelemahan akta atau pelaksanaan.
Sebaliknya, semua pihak dan agensi terbabit perlu memberi kerjasama dari peringkat awal bagi membolehkan semua projek dan perancangan berjalan lancar.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dalam ucapannya berkata, kerajaan sentiasa cuba memperbaiki kelompongan dalam polisi dan undang-undang berkaitan, namun kebanyakan isu yang timbul tidak hanya berpunca daripada kelemahan akta atau pelaksanaan.
Sebaliknya, semua pihak dan agensi terbabit perlu memberi kerjasama dari peringkat awal bagi membolehkan semua projek dan perancangan berjalan lancar.
"Tetapi PBT terpaksa mengejar semua agensi yang terlibat untuk mematuhi perkara tersebut dan perkara ini tidak berlaku seperti yang kita harapkan.
"Ada pihak yang tak beri kerjasama sepenuhnya bila dipanggil untuk beri ulasan sampai masa pemajuan telah berlaku, baru keluar ulasan, ada permintaan tambahan dan sebagainya, yang akhirnya kena adalah PBT," katanya.