Pedofilia: Ibu bapa jangan 'ketagih' muat naik gambar anak
T K Letchumy Tamboo
November 2, 2016 17:30 MYT
November 2, 2016 17:30 MYT
Kesilapan utama yang dilakukan ibu bapa yang tidak sedar gambar anak-anak mereka dijadikan bahan pedofilia di ruang siber, adalah mereka sendiri sebenarnya tidak tahu maksud pedofilia.
Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata ada sesetengah ibu bapa hanya mahu menunjuk bahawa anak-anak mereka bijak dan comel, tanpa menyedari bahawa gambar yang mereka kongsikan di laman web, boleh tersebar luas dalam masa hanya sesaat.
"Kesilapan mereka adalah mereka tidak tahu pedofil itu apa. Bagi mereka, pedofil ialah orang yang melakukan perbuatan meraba, mengambil kesempatan, memegang kemaluan anak.
"Bukan, itu pencabul kanak-kanak," tegasnya.
Menurut Kamal, pedofil ialah orang yang ada kecenderungan, malah hanya dengan melihat anak kecil berjalan hanya memakai lampin juga sudah mencetus keinginan tertentu.
"Dalam laman pornografi bagi pedofil ini, ada gambar sedemikian. Kanak-kanak yang tidak berbogel pun diletakkan di situ sebab fantasi mereka berbeza.
"Ada yang melihat anak-anak minum susu itu seksi, dan ada pula yang melihat kaki anak-anak itu seksi.
"Jangan sangka bila ingat objek seksual, ia seperti seksual pada pemahaman kita orang dewasa. Sebab ia mungkin membawa maksud berbeza bagi orang lain," katanya semasa ditemui selepas forum 'Kesedaran Mengenai Pedofilia dan Penderaan Seksual Kanak-Kanak' anjuran Universiti Malaya.
Katanya, ibu-bapa perlu berhati-hati semasa memuat naik gambar anak-anak mereka di laman web.
Beliau berkata, sekiranya ibu bapa hendak menunjukkan anak mereka bijak, comel atau sebagainya, ia tidak bermakna ibu bapa perlu menjadi kurang bijak.
Tambahnya, jika terdapat ibu bapa yang 'ketagih' memuat naik gambar ke ruang siber, mereka perlu mendapatkan bantuan ahli psikologi.
Selain Kamal, ahli panel lain yang turut mengambil bahagian dalam forum tersebut adalah Ketua Unit Siasatan Seksual (D11) Bukit Aman Timbalan Superintenden Tan Gee Soon, Sekreteriat Mothers Againts Ponography, Raihan Ishak, Ketua Jabatan Pelaksanaan Jangkauan Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM), K. Juslly Elis.