Pedofil: 'Bawa balik, biar kita didik dia ajaran Islam cukup-cukup' - Pendakwah bebas

Wan Syamsul Amly
Mei 5, 2015 12:49 MYT
Kerajaan disaran tidak memberi peluang kedua untuk menyambung pelajaran di London kepada pelajar tajaan MARA, Nur Fitri Azmeer Nordin, 23, yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun atas 13 kesalahan memiliki lebih daripada 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak.
Namun kata pendakwah bebas Datuk Md Daud Che Ngah, pelajar berkenaan dikehendaki menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi negara ini untuk mengelakkan perkara seumpama itu berulang.
"Mula-mula dia tahu tujuannya ke sana adalah untuk menjadi duta negara dan belajar bersungguh-sungguh.
"Tindakannya memalukan nama negara dan jika dia hendak berubah, biarlah berubah di Malaysia dan bukan di London, jika dia terus di sana selepas hukuman penjara, kita takut lain pula jadinya.
"Bila dia balik Malaysia nanti, kita lanyak dia cukup-cukup. Kita bagi dia pelajaran secukupnya tentang agama. Jika di London mungkin ada helah lain yang dilakukan kerajaan di sana sehingga menyebabkan pelajar itu akan diperangkap untuk kali kedua," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
BACA: Pedofil: 'Buat apa nak beri peluang kedua?' - Media Sosial
BACA: KKLW timbang rayu kes pelajar tajaan MARA dihukum penjara di London - Shafie Apdal
BACA: MARA tamatkan pinjaman pelajaran Nur Fitri Azmeer serta-merta
Md Daud mengulas kes Nur Fitri yang dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Southwark Crown di London kerana memiliki imej lucah kanak-kanak.
Sebelum ini, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kementeriannya akan mempertimbangkan sama ada untuk merayu dalam kes Nur Fitri.
Kata Mohd Shafie, pihak kementerian boleh mengemukakan rayuan untuk mengurangkan tempoh hukuman tetapi tertakluk kepada perundangan di negara itu.
Delama pada itu tegas Md Daud, Nur Fitri dilihat hanya akan berubah jika dia dihantar balik ke negara ini selepas menjalani hukuman penjara di sana.
"Kita terikat dengan undang-undang di negara mereka, kita tidak mahu kejadian seperti yang yang terjadi kepada pasangan Azizul Raheem Awaluddin dan Shalwati Norshal atas tuduhan mencabuli integriti dan mengasari anak-anak mereka di Sweden pada tahun lepas.
"Memang apa yang dilakukan Nur Fitri itu salah, kerana itu saya minta dia dibawa balik selepas menjalani hukuman di sana dan diberi ajaran sebetulnya di Malaysia.
"Tidak boleh dinafikan mungkin ada unsur menghina Islam yang dilakukan jika pelajar itu terus di sana," jelasnya.
Nur Fitri yang ditahan di kediamannya di Queensborough Terrace, West London mula belajar di Imperial College sejak tahun lalu.
BACA: Shalwati dan Azizul didapati bersalah, dihukum penjara
Pihak Polis Metropolitan berjaya mengesan Nur Fitri selepas menemui satu akaun internet miliknya yang telah memuat turun ribuan video dan imej lucah kanak-kanak.
Polis telah bertindak menggeledah rumahnya pada November 2014 dan menemui komputer riba milik Nur Fitri yang masih terbuka bersebelahan sebuah patung kanak-kanak.
#London #lucah #Md Daud Che Ngah #nur fitri #pedofil #penjara
;