Pedih... Kulit leher tersiat, dihiris tali layang-layang melintang di jalan

Dewi Nur Harasha Alias
Mac 23, 2021 17:31 MYT
Siasatan di lokasi kejadian kemudiannya menemui tali tangsi berselerak atas rumput di bahu kiri jalan yang tidak diikat pada mana-mana objek. - PDRM
BUTTERWORTH: Seorang anggota polis cedera di leher selepas terlanggar tali tangsi yang melintang di atas Lebuhraya Utara Selatan, dekat Plaza Tol Sungai Dua, Ahad lalu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang di Kilometer 129.6 ketika anggota terbabit sedang menunggang motosikal dari Hospital Bukit Mertajam menuju ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Seberang Perai Utara (SPU).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, ketika tiba di lokasi, mangsa menyedari lehernya tersangkut pada 'benda melintang' sehingga mengalami kecederaan.
Mangsa sempat memberhentikan motosikalnya di tepi jalan sebelum dibantu orang awam.
“Selain cedera di leher, mangsa turut mengalami luka di jari tangan kiri dan bahu kanan, namun tiada kerosakan pada motosikal mangsa,” ujar Noorzainy dalam kenyataan hari ini.
Noorzainy berkata, siasatan di lokasi kejadian kemudiannya menemui tali tangsi berselerak atas rumput di bahu kiri jalan yang tidak diikat pada mana-mana objek.
Sementara itu, anggota peronda PLUS memberitahu, kemungkinan tali layang-layang itu terputus dan terjatuh ke kawasan lebuh raya terbabit.
“Anggota peronda PLUS kemudiannya telah mengesan objek ditempat kejadian dan menjumpai tali tangsi dari atas pokok susur keluar Sungai Lokan hingga ke bahu kiri lebuh raya dan tidak merentang laluan lebuhraya,” kata Noorzainy.
Anggota polis yang cedera dibawa ke Hospital Kepala Batas, untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.
#leher cedera #penjawat awam #polis cedera #anggota polis #tali layang-layang #plaza tol sungai dua
;