KUALA LUMPUR: Tindakan pantas dua anggota polis pengiring kenderaan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh memecut laju kenderaan yang dipandu, telah menyelamatkan nyawa mereka daripada dihempap pokok dalam kejadian di hadapan Menara Prestige berdekatan Jalan Pinang, di ibu negara pada Isnin.

Ketika kejadian, kenderaan yang dipandu Koperal Mohd Hafifi Kadrai bersama rakan setugasnya, Koperal Wira Putra Johari berada di depan tiga kenderaan rombongan termasuk yang dinaiki Ab. Rauf.

Berkongsi detik cemas insiden tersebut, Pegawai Media Ab. Rauf, Shahnor Samsudin berkata, sebaik melalui lokasi kejadian pada jam 3.30 petang, Koperal Wira Putra menyedari sebatang pokok dalam keadaan hendak tumbang.

"Masa Koperal Wira Putra beritahu Koperal Mohd Hafifi mengenai keadaan pokok tersebut, dia terus memecut laju kenderaan yang dipandu.

"Mereka berdua tunduk (ketika memecut) tetapi pokok tersebut mengenai bahagian belakang kereta Proton jenis X70," katanya ketika dihubungi hari ini.


.

Jelas Shahnor, pihaknya bersyukur kerana kejadian luar jangka itu tidak mencederakan mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dalam rombongan lawatan kerja Ketua Menteri Melaka.

Sebaliknya, ujar beliau pokok yang menghempap kenderaan pengiring hanya menyebabkan cermin bekalang pecah dan bahagian belakang kenderaan itu kemek.

Shahnor menambah, ia merupakan insiden pertama yang berlaku kepada kenderaan pengiring Ketua Menteri.

"(Selepas insiden tersebut) mereka berdua terkejut. Tetapi alhamdulillah, semuanya selamat," kongsinya lagi.

Semalam, Astro AWANI melaporkan insiden pokok tumbang di hadapan Menara Prestige hampir menghempap kenderaan dinaiki Ketua Menteri Melaka.


.


Ab. Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara ketika dihubungi media mengesahkan insiden berkenaan dan memaklumkan beliau dalam keadaan selamat.

Beliau dalam masa sama meminta pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan sewajarnya untuk mengelakkan insiden sama berulang.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam kenyataan memaklumkan lapan buah kenderaan termasuk lima buah kereta dan tiga motosikal dihempap pokok tumbang di hadapan Menara Prestige.