Pecahan MNLF sokong tuntutan Sulu
Teoh El Sen
Mac 14, 2013 13:05 MYT
Mac 14, 2013 13:05 MYT
Pecahan ahli Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) meluahkan sokongannya kepada Jamalul Kiram III dengan menyatakan Kiram mempunyai hak tuntutan ke atas Sabah.
Bagaimanapun, Absalom Cerveza, Ketua Panel Keamanan MNLF yang merupakan kumpulan serpihan Nur Misuari, berkata pembunuhan dan peperangan bukanlah jalan penyelesaian.
Cerveza sewaktu dihubungi baru-baru ini berkata kenyataan yang dibuat oleh 'pengerusi' MNLF Muslimin Sema bukanlah mewakili pendirian rasmi MNLF.
Beliau menegaskan Misuari sahajalah satu-satunya pengerusi MNLF dan bukannya Muslimin yang menggelarkan dirinya sebagai pemimpin puak pemisah itu.
(Media Filipina acapkali menguar-uarkan Muslimin sebagai pemimpin pecahan terbesar dalam MNLF)
Baru-baru ini Muslimin yang juga timbalan kepada Datuk Bandar Cotabato di selatan Filipina berkata MNLF bukanlah musuh kepada Malaysia dan tidak pula membantu dalam serangan puak Sulu.
"Kami (MNLF) sama sekali tidak menyokong dengan apa yang telah berlaku di Sabah (pencerobohan dan keganasan ke atas puak pengganas). Kami menolak sekeras-kerasnya. Kejadian di Sabah merupakan gerakan yang dapat mengundang perpecahan di kalangan kami."
Muslimin berkata MNLF mengiktiraf dang menghormati keputusan rakyat Sabah yang ingin menyertai Malaysia pada tahun 1963.
Walaubagaimanapun, Cerveza berkata pendirian MNLF berbeza dengan Muslimin dan menyatakan Kesultanan Sulu berhak mengemukakan tuntutannya ke atas Sabah melalui dokumen yang membuktikan 'sultan' mempunyai hak ke atas Sabah.
Cerveza turut memberitahu laporan awal berhubung Suluk (Tausug) yang dalam perjalanannya ke Sabah untuk membantu saudara mereka yang terkorban bukanlah satu khabar angin.
"Saya tidak terperanjat jika terdapat perancangan untuk menceroboh Sabah. Saya kenal Muslim di sini. Saya tahu mereka tidak akan melanggar perintah 'sultan'," jelas beliau.
Hari ini New Straits Times melaporkan satu dokumen rahsia yang didedah WikiLeaks menyatakan Nur Misuari berhasrat yang ingin merampas Sabah. Misuari turut dikaitkan dengan pemimpin parti pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut sumber WikLeaks, peguam MNLF Ombra Jainal menggambarkan Misuari sebagai tokoh yang mahu merampas semula Sabah.
Apabila ditanya mengenai isu ini, Cerveza memperakui kenyataan itu dengan menjelaskan Anwar dan Misuari merupakan kawan baik. Misuari telah menyatakan dengan jelas yang beliau mahu memperkukuh penguasaanya ke atas Borneo Utara.
Walaubagaimanapun, Cerveza menegaskan yang MNLF tiada kaitan dengan 'sultan' yang ingin merampas Sabah meskipun terdapat dialog di antara Misuari dan Kiram.
"Kami bukanlah sebahagian daripada mereka. Namun begitu, kami tidak dapat menghalang Tausug mematuhi arahan 'sultan' kerana mereka adalah di bawah takluk Kesultanan Sulu."
Apabila ditanya samada sokongan MNLF terhadap tuntutan Kiram bermakna sokongan terhadap cara penceroboh Sulu yang masuk Sabh, Cerveza memberitahu beliau tidak menyebelahi sesiapa.
"Kami tak salahkan mana-mana pihak. Kami tak selar tindakan 'sultan'. Kami doakan yang terbaik," menurut beliau.
Beliau menyatakan tidak sanggup melihat lebih banyak pertumpahan darah. Katanya, hal ini akan berlarutan sekiranya Malaysia, Filipina dan Kiram tidak menyelesaikannya melalui meja rundingan.
"Tembak-menembak tak akan menyelesaikan masalah meskipun Malaysia berjaya menghapuskan 'sultan' dan warisnya. Senario ini akan berlarutan kerana 'sultan' yang baru pula akan timbul. Sesiapa yang dapat mengemukakan penyelesaian secara aman seharusnya berbuat demikian,"
Cerveza berkata "Masalah ini perlu diselesaikan dengan kepala dingin dengan memikirkan jalan penyelesaian terbaik isu ini.'
Pertempuran di Lahad Datu yang bermula 9 Februari lalu telah mengorbankan sepuluh orang pasukan keselamatan dan 60 pasukan bersenjata Sulu.
Laporan sebelumnya menyatakan yang Misuari sanggup menjadi orang tengah dalam isu Sabah.
"Itu yang saya sampaikan kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul razak yang saya bersedia menghantar anak buah saya untuk memulakan rundingan," menurut Misuari.