Pecah masuk kedai, curi: Tiga lelaki dihadapkan di lima Mahkamah Majistret
Bernama
Oktober 25, 2024 22:30 MYT
Oktober 25, 2024 22:30 MYT
KUALA LUMPUR: Tiga lelaki termasuk seorang warga Myanmar dihadapkan ke lima Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan pecah masuk kedai runcit dan mencuri kenderaan antara Ogos dan Oktober ini.
Di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad. Siam, pekerja besi buruk R. Gunasilan, 29, dan penganggur J. Jagatheiswaran, 31, dijatuhkan hukuman penjara lima bulan selepas mengaku bersalah memecah masuk sebuah kedai runcit dengan memecahkan mangga shutter kedai dan mencuri barang di dalam kedai berkenaan.
Mereka didakwa melakukan kesalahan terbabit di premis itu di Dang Wangi pada 4 pagi, 29 Ogos lepas, mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan denda.
Seorang lagi tertuduh yang merupakan warga Myanmar Muhammad Lukman Abdul Rahim, 19, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama dan mahkamah menetapkan 4 Nov ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.
Di hadapan Majistret M. S. Mageswary, Jagatheiswaran dipenjara setahun dari tarikh tangkap pada 28 Sept selepas mengaku bersalah mencuri van milik Chai Koh Phooi, 39, di tempat letak kenderaan sebuah kedai membaiki kereta di Cheras di sini pada 1.15 pagi, 21 Sept lepas mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum tujuh tahun dan denda.
Majistret sama turut menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dari tarikh tangkap 26 Sept terhadap Gunasilan selepas mengaku menyembunyikan van kepunyaan Tan Chuan Kheng, 42, yang dicuri di tepi jalan di Pandan Indah, Ampang di sini pada 10 malam, 26 Sept lepas mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang berdepan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum tujuh tahun dan denda.
Di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan, Gunasilan dipenjara lapan bulan dari tarikh tangkap (26 Sept) selepas mengaku bersalah menolong menyembunyikan tiga komputer riba milik Fatimah Hoong Abdullah, 34, dari kedai membaiki telefon milik mangsa pada 2.30 pagi hingga 3 pagi, 6 Sept lepas mengikut Seskyen 414 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim, ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri sebuah van milik Muhamad Syahmi Mohd Noh, 30, di sebuah kedai di Brickfields di sini pada 10 pagi, 13 Sept lepas.
Mahkamah membenarkan Gunasilan dan Jagatheiswaran masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin manakala tiada jaminan ditawarkan kepada Muhammad Lukman dan 15 Jan tahun depan ditetapkan untuk sebutan kes.
Di hadapan Majistret Aina Azahra Ariffin pula, Jagatheiswaran mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri motosikal milik Muhammad Syah Rizal Ramli, 23, di sebuah premis di Brickfields di sini pada 1.38 tengah hari, 5 Ogos lepas dan dia dibenarkan diikat jamin RM5,600 dengan seorang penjamin manakala 5 Dis ini ditetapkan untuk sebutan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana, Nursyuhada Husna Sulaiman, Zulhilmi Latif, Amritpeer Kaur Randhawa dan Hence Goh manakala Muhammad Lukman diwakili peguam Kelvinder Singh Sandhu dan Gunasilan serta Jagatheiswaran diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Ernie Ahmad, Tan Wei Meng, N. Venugopal dan Law Min.
-- BERNAMA