Pecah cermin kereta, samun beg tangan wanita - Dua lelaki ini diburu

Afiezy Azaman
Julai 3, 2019 13:14 MYT
Pembonceng telah memecahkan cermin kereta hadapan bahagian kiri lalu mengambil beg tangan yang diletakkan atas tempat duduk penumpang sebelah pemandu. - Foto ihsan pembaca Astro AWANI
Polis sedang memburu dua lelaki disyaki terlibat dalam kes samun seorang wanita di Batu 5, Jalan Gombak, ibu negara.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa kejadian berlaku pada 9.37 pagi, pada Selasa.
"Mangsa sedang memandu kereta dan berhenti di lampu isyarat berdekatan sebuah bank, Jalan Gombak dan secara tiba-tiba datang dua lelaki menaiki motosikal.
"Pembonceng telah memecahkan cermin kereta hadapan bahagian kiri lalu mengambil beg tangan yang diletakkan atas tempat duduk penumpang sebelah pemandu dan kedua-dua suspek terus melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata akibat kejadian itu mangsa mengalami kerugian barangan dokumen dan wang tunai dianggarkan RM2,000.
Pihak polis sedang berusaha mengesan kedua-dua suspek dan sekiranya orang ramai mempunyai maklumat boleh tampil ke balai polis berhampiran.
Kes disiasat di bawah 395 Kanun Keseksaan.
#jenayah #kereta #Kuala Lumpur #mangsa #pecah cermin kereta #polis #ragut #ragut di Gombak #samun #siasatan #suspek #wanita
;