Pecah ATM, pencuri bawa lari RM224,570

Bernama
April 6, 2013 16:26 MYT
Dua pencuri melarikan wang tunai dianggarkan RM224,570 dari sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) apabila mereka memecah masuk sebuah stesen minyak di Persiaran Kewajipan, Subang Jaya, Sabtu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahya Ramli berkata kejadian itu disedari oleh seorang pekerja stesen minyak, Sapiah Abidin, 42, ketika itu yang datang bertugas bersama rakannya pada jam 5 pagi dan menyedari pintu kaca utama telah dicungkil dari bawah.
Beliau berkata dipercayai dua suspek lelaki itu telah masuk ke dalam premis untuk mengalihkan sebuah kamera litar tertutup (CCTV) dan telah menyembur dua kamera CCTV dengan cat merah.
"Berdasarkan rakaman kamera CCTV pada jam 3 pagi tadi mendapati suspek pertama dan kedua memakai baju putih dan hitam berlengan panjang, bersarung tangan dengan masing-masing memakai topeng 'sky mask' serta berhelmet biru berserta visor tertutup.
"Suspek bertindak masuk ke bilik rakaman kamera CCTV dan memotong wayar telefon serta bekalan elektrik. Disyaki suspek memotong permukaan mesin ATM menggunakan gas Oxy," katanya.
Yahya berkata sebanyak empat kotak berisi wang telah dilarikan dan kali terakhir wang yang dimasukkan pada peti mesin ATM itu ialah sebanyak RM395,000 pada Rabu lepas.
Katanya hasil siasatan polis menemui sebanyak 21 kesan cap jari manakala kenderaan yang digunakan suspek tidak diketahui.
Lain-lain barang yang dilarikan adalah 40 kotak rokok jenis Dunhill," katanya sambil menambah kes masih dalam siasatan.
#ATM #polis #rompakan
;