Pecah amanah RM14,000: Bekas pengurus Mardi mengaku tidak bersalah

Astro Awani
Mei 25, 2021 12:57 MYT
Mahkamah membenarkan Mohd Saiful diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Jun depan untuk sebutan semula kes. - Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Seorang bekas pengurus Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah sebanyak lebih RM14,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Mohd Saiful Nizam, 40 tahun, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.
Tertuduh yang juga pengurus dana di Mardi Kuala Terengganu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, dia telah dengan sengaja tidak menyerahkan wang pembayaran sewa kiosk, serta deposit, kepada Bahagian Kewangan Mardi Kuala Terengganu berjumlah RM14,250.
Kesalahan didakwa dilakukan pada Januari hingga September 2019.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Selain itu, mahkamah juga mengarahkan tertuduh melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap 1 haribulan setiap bulan dan menyerahkan passport antarabangsa kepada mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Nur Athikah Aziz.
#SPRM #mahkamah #pecah amanah #MARDI #Kuala Terengganu #Mahkamah Sesyen #terengganu
;