Pecah amanah: Polis serbu pejabat HRDF

Bernama
Januari 11, 2019 05:59 MYT
Kula Segaran mendedahkan terdapat penyelewengan dana dan salah guna kuasa melibatkan pengurusan terdahulu perbadanan tersebut.
Polis pada Jumaat menyerbu pejabat Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) di Bukit Damansara dekat sini bagi membantu siasatan berkaitan kes pecah amanah dan salah guna kuasa melibatkan anggota lembaga pengarah HRDF terdahulu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.
Beliau berkata sepasukan anggota JSJK melakukan serbuan ke pejabat berkenaan pada 10 pagi sebelum meninggalkan premis berkenaan kira-kira 5.30 petang Jumaat.
Menurutnya, beberapa dokumen dirampas bagi membantu siasatan kes berkenaan.
"Kami akan meneliti dahulu dokumen berkenaan sebelum memanggil beberapa individu untuk memberi keterangan. Setakat ini tiada tangkapan," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah, katanya.
BACA: CEO HRDF Vignaesvaran letak jawatan
BACA: Potongan 30 peratus majikan terhadap dana HRDF dihentikan 15 Nov
Sementara itu, HRDF dalam kenyataan malam tadi berkata pihaknya memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang menjalankan siasatan.
"Pasukan polis dari Bukit Aman berada di Wisma HRDF untuk merakam kenyataan Ketua Eksekutif Dana sebagai tindakan lanjut kepada laporan yang difailkan oleh beliau pada 2018 terhadap pentadbiran sebelumnya," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Ketua Eksekutif HRDF Elanjelian Venugopal berkata pihaknya sentiasa memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan berharap siasatan berterusan akan berakhir dengan individu yang melakukan kesalahan dibawa ke muka pengadilan.
BACA: Jawatankuasa dibentuk teliti peletakan jawatan anggota pengarah HRDF
Bernama sebelum ini melaporkan sejumlah wang dari dana HRDF telah diseleweng pihak tertentu dalam pengurusan terdahulu, termasuk pembelian hartanah tanpa pengetahuan anggota lembaga pengarah dan panel pelaburan.
Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran mendedahkan terdapat penyelewengan dana dan salah guna kuasa melibatkan pengurusan terdahulu perbadanan tersebut.
-- BERNAMA
#dana #Elanjelian Venugopal #HRDF #Kanun Keseksaan #M Kula Segaran #pecah amanah #pembelian hartanah #penyelewengan #polis #Saiful Azly Kamaruddin #salah guna kuasa #serbuan #siasatan #Tabung Pembangunan Sumber Manusia
;