Pecah amanah: Identiti sembilan individu dalam Kesedar disalah guna - Ahmad Zahid

Umavathi Ramayah
Mei 29, 2023 19:30 MYT
Ahmad Zahid ketika merasmikan Majlis Pelancaran Jerayawara Advokasi Anti Gangguan Seksual di sebuah hotel hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Seorang penolong akauntan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pecah amanah membabitkan RM24.8 juta dipercayai menyalahgunakan identiti sembilan rakan sepejabatnya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendedahkan perkara itu berkata, perbuatan itu disifatkan licik, lebih-lebih lagi jenayah berkenaan dilakukan untuk satu tempoh yang lama, iaitu lapan tahun.
"Saya ambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi kerana ini wang cukai rakyat yang sepatutnya digunakan untuk peneroka Kesedar, sebaliknya individu berkenaan guna untuk kepentingan peribadi.
"Tangkapan sudah dibuat, saya juga mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) untuk ambil tindakan perundangan dengan segera," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jerayawara Program Advokasi Antigangguan Seksual, di sini pada Isnin.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, suspek akan dikenakan tindakan berdasarkan tata kelola sedia ada oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) termasuklah digantung tugas.
Sabtu lalu, media melaporkan seorang lelaki berusia 37 tahun bertugas sebagai penolong akauntan Kesedar ditahan selepas dipercayai pecah amanah berjumlah RM24.8 juta sejak lapan tahun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dilapor berkata, suspek ditahan di rumahnya di bandar Gua Musang, awal pagi 27 Mei susulan laporan diterima sehari sebelum itu berkait salah laku oleh kakitangan Kesedar.
Ia berhubung kehilangan wang kerajaan yang diuruskan oleh Bahagian Kewangan Kesedar melalui Kumpulan Wang Amanah dan Kumpulan Wang Pembangunan dari Disember 2016 hingga Mei 2023.
#Zahid Hamidi #kesedar #pecah amanah #penolong akauntan
;