PDRM yakin pegawai, anggotanya capai sasaran BMI

Bernama
Februari 19, 2017 07:00 MYT
Polis telah mengenal pasti anggota yang mengalami masalah berat badan berlebihan dan akan menangani perkara itu kecuali bagi anggota yang mempunyai masalah kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung. - Gambar hiasan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) yakin semua pegawai dan anggotanya akan mencapai sasaran kecergasan dan kelangsingan fizikal ideal iaitu dengan jisim berat badan (BMI) tidak melebihi 28 menjelang hujung tahun ini.
Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata ia berikutan kesungguhan dan usaha yang ditunjukkan keseluruhan pasukan itu ketika ini termasuk penganjuran pelbagai pertandingan sukan, dalam usaha mencapai sasaran BMI yang ditetapkan.
"Program Trim and Fit yang akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada awal 2018 menjadi motivasi kepada semua pegawai dan anggota dalam menjaga BMI serta kecergasan masing-masing.
"Setakat ini kita dapati semuanya mengambil serius dan berusaha bersungguh-sungguh berhubung perkara ini dan pihak jabatan amat berpuas hati," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penutup Kejohanan Badminton dan Sepak Takraw Piala Ketua Polis Negara di Dewan Kompleks Sukan 1 Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian di sini, pada Ahad.
Hadir sama Ketua Polis Kelantan Ab Rahman Ismail dan Ketua Polis Terengganu Rosli Ab Rahman.
Pada kejohanan itu, kontinjen Selangor menjuarai pertandingan sepak takraw manakala Johor merangkul kejuaraan badminton.
Zulkifli berkata bagi memantau perkembangan pelaksanaan program Trim and Fit yang bermula Januari lepas, pihaknya akan membuat penilaian awal bagi program berkenaan pada Mac ini.
Mengulas mengenai anggota yang mengalami masalah berat badan berlebihan, Zulkifli berkata pihaknya telah mengenal pasti dan menangani perkara itu kecuali bagi anggota yang mempunyai masalah kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.
Dalam pada itu beliau berkata tahap kecergasan anggota bukan hanya menjadi syarat untuk kenaikan pangkat tetapi pastinya akan memberi faedah kepada PDRM memberi khidmat lebih baik kepada masyarakat. -- Bernama
#BMI #Datuk Seri Zulkifli Abdullah #gemuk #jisim berat badan #obesiti #PDRM #polis #Polis Diraja Malaysia
;