PDRM umum pertukaran 45 pegawai kanan

Bernama
Februari 22, 2024 19:22 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran 45 pegawai kanannya yang berkuat kuasa 25 Mac ini.
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran 45 pegawai kanannya yang berkuat kuasa 25 Mac ini.
Setiausaha PDRM Alzafny Ahmad dalam kenyataan memaklumkan pertukaran itu antaranya membabitkan Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa yang dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).
Beliau berkata pertukaran lain melibatkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.
"Pengarah JSJN pula disandang Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin.
"Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan), Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan, Bukit Aman Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin pula dilantik Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang," katanya.
Selain itu, menurutnya Juruiring Polis kepada Timbalan Perdana Menteri, Jabatan Perdana Menteri ACP Mohd Nasaruddin M Nasir dilantik sebagai Ketua Staf Pasukan Khas Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Kementerian Dalam Negeri dengan memangku pangkat SAC.
Alzafny berkata Pegawai Turus E7C, Cawangan Khas, Bukit Aman Supt Raja Farul Izwan Raja Ismail dilantik sebagai ACP Security Liaison Officer (SLO) Jakarta, Indonesia dengan memangku pangkat ACP.
Supt E4A1, Cawangan Khas, Bukit Aman Supt Azman Abdul Khan pula dilantik sebagai ACP SLO Canberra, Australia dengan memangku pangkat ACP, manakala Pegawai Agensi Penguatkuasaan (2) (Bahagian Perisikan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Supt Ruzaime Ramli pula dilantik sebagai ACP SLO Singapura dengan memangku pangkat ACP.
-- BERNAMA
#PDRM #pertukaran pegawai kanan #Polis Diraja Malaysia #Alzafny Ahmad
;