PDRM tubuh Team Black Mamba atasi kesesakan jalan raya

Sinar Harian
Jun 29, 2023 13:00 MYT
Antara anggota Team Black Mamba ialah melakukan tugas penguatkuasaan dan pemantauan di lokasi yang berlaku kesesakan lalu lintas. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Berperanan untuk melancarkan aliran trafik di beberapa laluan utama antara matlamat Team Black Mamba yang ditubuhkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman pada Rabu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, penubuhan pasukan itu rentetan sebagai usaha pihaknya dalam mengurangkan kesesakan sepanjang musim perayaan Aidiladha ini.
"Team Black Mamba ini dijenamakan semula bagi Team Task Force JSPT yang terdiri daripada pegawai dan anggota dari Unit Risikan/Operasi atau dikenali sebagai Skuad 42.
"Ia merupakan satu unit yang dilatih khas dan mempunyai kemahiran dalam menjalankan pelbagai tugas melibatkan pelbagai elemen dalam JSPT," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Katanya, aset melibatkan motosikal berkuasa tinggi antara yang digunakan pasukan ini dalam menjalankan tanggungjawab diberi.
"Team Black Mamba terdiri daripada dua pegawai kanan dan 22 anggota dengan menggunakan aset motosikal berkuasa tinggi.
"Antara tugas yang dijalankan adalah risikan tentang segala elemen yang melibatkan jenayah trafik, menjalankan operasi terancang, menjalankan tugas-tugas mengiring, membuat pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan," katanya.
Menurutnya, pihaknya sentiasa bersiap siaga dalam melancarkan aliran trafik sekali gus memudahkan perjalanan para pengguna jalan raya.
"Pengguna juga diingatkan supaya sentiasa menitik berat aspek keselamatan dalam usaha mengelak berlakunya kemalangan dan mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan demi keselamatan diri, keluarga serta pengguna lain.
"Penguatkuasaan dan kekerapan pemantauan sekali gus memberikan tumpuan dalam usaha memastikan pengguna mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan," katanya. -Sinar Harian
#Black Mamba #kesesakan jalan raya #rondaan #PDRM
;