PDRM tubuh Sel Jururunding hadapi situasi ancam keselamatan negara
Bernama
Oktober 4, 2024 18:15 MYT
Oktober 4, 2024 18:15 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini melancarkan pasukan perunding krisis dikenali Sel Jururunding yang berperanan sebagai penghubung antara pihak kerajaan dengan pengganas jika berhadapan sebarang situasi yang mengancam keselamatan negara.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pasukan khas berkonsepkan 'sleeper cell' itu terdiri mereka yang terlatih dan berpengalaman dalam bidang perundingan termasuk dengan pihak pengganas.
Beliau berkata mereka akan digerakkan jika berlaku krisis yang mengancam keselamatan sama ada di dalam dan luar negara serta akan bertindak menerima, mengumpul dan menyampaikan maklumat bagi memudahkan Pasukan Pengurusan Krisis membuat keputusan.
"Pasukan yang dibentuk dengan berpandukan Arahan MKN No 18 itu juga perlu mengekalkan perhubungan dengan pihak pengganas dan mencari jalan penyelesaian damai tanpa menggunakan keganasan.
"Misi utama jururunding adalah menyelamatkan nyawa tebusan dengan melaksanakan strategi yang terbaik dan mereka hendaklah mendapatkan maklumat perisikan semasa proses rundingan berjalan serta membantu tindakan taktikal apabila rundingan gagal," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Sel Jururunding di Bukit Aman di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Baharuddin Ahmad, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Pertubuhan Perisikan Pertahanan Leftenan Jeneral Datuk Mohd Razali Alias dan Komander Sel Jururunding SAC M.V Srikumar Madhavan Nair.
Penubuhan sel itu juga selaras dengan evolusi ancaman keselamatan dan jenayah yang semakin kompleks ketika ini dan menuntut PDRM memperkukuh keupayaan modal insan yang berkemahiran serta memiliki kepakaran bertaraf profesional, khususnya menangani krisis keganasan
Ayob Khan berkata pasukan itu yang berada di bawah kawalan Ketua Polis Negara melalui Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam turut dianggotai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Buat masa ini, Sel Jururunding berkenaan mempunyai sembilan anggota dan penambahan keanggotaan akan dilakukan dalam masa terdekat.
-- BERNAMA