PDRM tubuh pasukan petugas khas banteras judi 'mini kasino'

Bernama
Julai 6, 2018 05:42 MYT
Mazlan berkata kegiatan perjudian dalam talian menggunakan tablet dan telefon pintar beroperasi melalui dua modus operandi. - Foto BERNAMA
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan satu Pasukan Petugas Khas untuk membanteras kegiatan judi 'mini kasino' dalam talian yang semakin berleluasa ketika ini, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata dengan adanya pasukan khas itu tindakan boleh dikenakan di di bawah Undang-undang Pencegahan (POCA) di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Akta 297) ke atas penganjur perjudian online itu.
"Setakat tempoh enam bulan pertama tahun ini seramai 25 suspek ditahan di bawah POCA.
"PDRM memberi amaran tindakan tegas akan diambil kepada penganjur dan pelanggan judi online ini walaupun perbuatan mereka sukar untuk dikesan kerana beroperasi secara mobile dan bukan di satu tempat atau premis," katanya kepada pemberita pada sidang media khas di Kontinjen Kuala Lumpur pada Jumaat.
Menurutnya, selain POCA mereka yang terbabit dalam kegiatan itu juga boleh didakwa di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Mazlan berkata kegiatan perjudian dalam talian menggunakan tablet dan telefon pintar beroperasi melalui dua modus operandi iaitu dengan menggunakan tablet atau telefon pintar penganjur atau penjaga di lokasi premis yang telah ditetapkan untuk mereka yang baru dalam kegiatan itu.
"Sekiranya pemain menang, penjaga akan membayar secara terus kepada pemain dan sekiranya penjaga tidak cukup wang untuk membayar hasil kemenangan oleh pemain, urusan transaksi akaun bank dilakukan oleh pengurus atau penyelia judi online itu," katanya.
Modus operandi kedua ialah pengendali judi online memberi satu alamat link yang perlu pemain memuat turun daripada aplikasi "Google Play Store" versi Android menggunakan telefon bimbit milik pemain.
"Biasa ini lebih melibatkan pelanggan tetap penganjur judi online dan mereka berhubung melalui WeeChat untuk setiap urusan perjudian," katanya.
Menurutnya setakat Jun tahun ini sahaja, 71 serbuan melalui Op Dadu melibatkan 268 tangkapan dan rampasan peralatan elektronik iaitu 342 tablet, komputer (70), laptop (60), telefon pintar (69), wifi/modem (38) dan router (24) dengan nilai rampasan RM36,559.
-- BERNAMA
#dalam talian #judi #Ketua Polis Kuala Lumpur #Kuala Lumpur #Mazlan Lazim #mini kasino #PDRM #polis
;